Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akur menerima segala keputusan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sama ada mahu dirinya bertanding di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, walaupun beliau menerima sokongan padu daripada akar umbi yang mahu dirinya menjadi menteri besar Perlis semula, namun apa yang penting ketika ini ialah mencari reda Allah.

"Terima kasih di atas sokongan dan teguran, pandangan masing-masing saya hormati, tapi keputusan untuk saya di mana itu keputusan perdana menteri.

"Saya terpulang. Saya buat semua kerana Allah. Bagi saya, di mana pun (perlu bertanding) saya akan terima. Sekiranya disuruh balik negeri (DUN) saya balik negeri, kalau disuruh balik Pusat, saya balik ke Pusat.

"Saya terbuka. Saya dah lalui proses kehidupan ini. Apa yang saya buat sekarang ini bukan lagi nak perkara lain (tetapi) memberi perkhidmatan dan mendapat sebanyak mungkin pahala dalam hidup saya untuk akhirat yang berpanjangan," katanya kepada Malaysiakini.

Shahidan pernah menjadi menteri besar Perlis selama 13 tahun iaitu dari 1995 hingga 2008. Beliau kini adalah anggota parlimen Arau selepas menang dengan majoriti 1,371 undi mengalahkan calon PAS ketika itu, Allahyarham Datuk Haron Din.

Sebuah laman Facebook yang diberi nama 'Support Dato Seri Shahidan Kassim for Perlis Real MB' juga diwujudkan bagi meyokongnya agar kembali menjadi menteri besar.

Laman sosial itu kini menerima 'like' sebanyak 4,728 dan 4,714 orang yang mengikuti Facebook berkenaan.

Antara perkara yang ditulis di laman Facebook itu ialah mengenai sumbangan Shahidan ketika menjadi menteri besar Perlis sebelum ini.

Perlis sekarang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang juga adalah ADUN Pauh.

Selain itu, ditanya mengenai DUN yang mungkin akan ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang, Shahidan berkata, beliau mensasarkan DUN Sanglang atau DUN yang menjadi miliknya sebelum ini iaitu Tambun Tulang.

"DUN Tambun Tulang atau Sanglang. Antara dua, kalau kena pergi DUN, dua itu sahajalah," katanya lagi yang memberitahu bahawa DUN Sanglang dipilih kerana kerusi itu menjadi milik PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Terdapat 15 DUN di Perlis dan sebelum ini, Shahidan berkhidmat di bawah DUN Tambun Tulang sejak 1986.

Ketika ini ADUN di Tambun Tulang ialah adiknya iaitu Datuk Ismail Kasim yang memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-13 dengan mendapat 2,481 undi majoriti mengalahkan calon PKR.

Terdapat 9,424 jumlah pengundi di DUN Tambun Tulang.

Bagi DUN Sanglang pula ketika ini ia disandang oleh wakil PAS, Mohd Shukri Ramli yang hanya mendapat undi majoriti sebanyak 121 mengalahkan calon BN iaitu Fathul Bari Mat Jahya.

Untuk DUN Sanglang, kawasan majoriti Melayu itu mempunyai seramai 8,361 jumlah pengundi.

Lihat Komen
ADS