Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Janji manis Hebatkan Negaraku tanda rakyat tolak BN'
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

PRU14 |  PAS berkata BN terbukti lemah dalam perancangannya sebagai kerajaan apabila meminta peruntukan tambahan sebanyak RM7 bilion hanya selepas 78 hari belanjawan 2018 dilaksanakan.

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata belanjawan 2018 itu sendiri merupakan yang termewah dalam sejarah kerana memperuntukkan RM280.25 bilion.

Justeru katanya pelancaran manifesto BN - bertajuk Hebatkan Negaraku - yang menjanjikan langit dan bintang adalah gambaran secara tidak langsung bahawa parti itu masih gagal menawan hati rakyat yang mahu menolak mereka pada PRU ke-14 ini.

"Manifesto BN juga satu pengakuan bahawa mereka sudah dapat merasai denyut rakyat yang semakin menolak mereka.

"Oleh itu rakyat perlu 'dibeli' dengan pelbagai ganjaran dan hadiah yang tidak terkandung di dalam belanjawan termewah Bajet 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu melancarkan manifesto BN dengan dihadiri ribuan penyokong di Bukit Jalil.

Ada banyak janji yang diikrarkannya dalam manifesto itu termasuk peningkatan jumlah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), selain meningkatkan bantuan RM500 untuk bayi baru lahir di bawah program ADAM50.

BN juga berjanji untuk menyemak semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat.

Tidak ketinggalan BN berjanji untuk memperkenalkan sekolah beraliran bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek perintis.

Mengenai bahasa pula BN berikrar untuk menambah jumlah mata pelajaran dalam Program Dwibahasa (DLP) di sekolah-sekolah.

Untuk rekod Parlimen Malaysia terbubar secara rasmi pada 7 April dan pentadbiran yang ada sekarang bersifat kerajaan sementara.

Kata Tuan Ibrahim jika BN diberi kepercayaan untuk terus menjadi kerajaan, tidak dapat dipastikan berapakah jumlah peruntukan yang diperlukan lagi bagi menampung pelaksanaan manifesto mereka itu.

Menurutnya ia tidak termasuk peruntukan tambahan yang bakal diminta BN ke atas belanjawan termewah 2018 bagi membolehkan mereka menunaikan janji.

"Rakyat tidak harus mengambil risiko dengan janji-janji manis BN ini.

"Dengan GST sebagai senjata di tangan BN yang bertegas meneruskan perlaksanaannya jika menang, dan pendapatan negara yang semakin merosot, percayalah rakyat akan dijadikan mangsa pertama untuk menampung peruntukan berlebihan ini," katanya.


Baca BR1M paling 'best' dalam manifesto BN


Tuan Ibrahim juga tidak ketinggalan mengecam manifesto ditawakan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Katanya tawaran BN dan HARAPAN bersifat populis tanpa menawarkan penyelesaian untuk meningkatkan pendapatan negara.

"Ini berbeza dengan manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera yang menawarkan penyelesaian untuk menampung tawaran memansuhkan GST, menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, pendidikan serta perubatan percuma serta sistem percukaian lebih adil seperti cukai atas simpanan korporat dan cukai saham di Bursa Saham Malaysia.

"Semua ini hanya boleh dilakukan dengan pimpinan tulus ikhlas dan bebas rasuah," katanya.

Lihat Komen
ADS