Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siapa saja yang tidak gembira apabila mendapat laba daripada kerajaan.

Justeru tiada yang mengejutkan apabila penyokong BN menganggap pengumuman mengenai pertambahan jumlah bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) malam tadi adalah hal yang terbaik didengar daripada Datuk Seri Najib Razak.

Keriangan itu turut dikongsi individu yang tidak layak mendapat bantuan berkenaan, seperti Amri Mohamad yang mengalu-alukan langkah kerajaan menggadakan nilai bantuan BR1M.

Kata anggota Umno Merlimau di Melaka itu dia tidak layak mendapat BR1M kerana mempunyai pendapatan lebih RM5,000 sebulan.

"Sudah tentu yang paling best sekali ialah BR1M. Kita ni manusia biasa dan lebih suka dapat bantuan tunai. Tambahan pula sekarang kos sara hidup meningkat," katanya yang ditemui Malaysiakini di Arena Axiata, Bukit Jalil malam tadi.

Dianggarkan lebih 15,000 orang memenuhi kawasan stadium berkenaan apabila Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengumumkan manifesto mereka bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Parlimen Malaysia terbubar secara rasmi semalam dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan PRU.

Menurut Amri, 37, walaupun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memang dilaksanakan di negara ini, rakyat mendapat faedah daripadanya.

Memang sebelum Najib mengumumkan peningkatan jumlah bantuan BR1M, orang ramai yang hadir ke kawasan berkenaan berkali-kali melaungkan perkataan "hebat!" terutama apabila menyebut BN, negaraku dan Malaysia.

Ucapan bersemangat Najib - yang sebelum ini sudah memberi amaran supaya tiada mana-mana pihak mencari pasal dengan pendekar Bugis - juga dimeriahkan dengan paluan gendang pada detik tertentu.

Perdana mentei keenam Malaysia itu juga menggunakan ruang berkenaan untuk menyindir serta mempersenda Pakatan Harapan (HARAPAN).

Antaranya menggunakan perlambangan "terowong" dan "air" yang masing-masing merujuk kepada isu di Pulau Pinang dan Selangor.

Seperti Amri, kakitangan awam T Loganathan, juga memuji Najib kerana mengumumkan peningkatan bantuan BR1M itu.

Katanya langkah itu mungkin akan menarik pengundi atas pagar untuk menyokong BN dalam PRU akan datang.

"Sebab apabila kita sebut BR1M, ia melibatkan orang bawahan, yang berpendapatan rendah.

"Sekarang hampir semua orang dapat BR1M," katanya yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan.

Loganathan, 54, yang menganggotai Parti Progresif Rakyat (IPF) berkata manifesto BN itu juga bersifat inklusif.

Katanya apa yang dicakapkan Najib itu bukan sekadar khayalan tetapi sudah dibuktikan dapat dilaksanakan sebelum ini.

Sambil berdoa supaya BN mendapat kekuatan menolak segala "tohmahan" dilempar pembangkang Loganathan - serta Amri - juga yakin parti itu akan mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat selepas ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS