Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis: 'Lawatan' ke rumah Amri tak perlu waran

INKUIRI SUHAKAM | Kedatangan pihak berkuasa diketuai Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin ke rumah aktivis Amri Che Mat setahun sebelum kehilangannya, tidak menggunakan waran.

Mohd Asri berkata demikian ketika memberi keterangan pada inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Amri, hari ini.

Beliau berkata waran tidak diperlukan kerana beliau hanya mahu ke rumah Amri untuk bertanya tentang aduan berkaitan dakwaan kegiatan Syiah di situ.

"Tiada waran khas tetapi kami pergi melawat ke tempat itu. Sekurang-kurangnya kami boleh tahu aduan (orang ramai) betul atau tidak," katanya yang merupakan saksi kesepuluh inkuiri.

"Kami tak pecah masuk rumah, tetapi minta cara baik (untuk masuk)," katanya.

Beliau berkata dibenarkan masuk oleh Norhafizal Ariffin, yang sebelum ini memperkenalkan dirinya pada inkuiri sebagai adik ipar Amri.

Ia bertentangan dengan keterangan isteri Amri, Norhayati Ariffin (gambar), yang sebelum ini berkata beliau tidak membenarkan Mohd Asri dan pihak berkuasa untuk masuk memandangkan Amri tiada di rumah.

Kata Norhayati, ia bukan lawatan biasa sebaliknya satu serbuan, berdasarkan kelakuan anggota polis yang bersama-sama Asri pada masa itu.

Dalam pada itu, Asri menafikan lawatan tersebut sebagai 'serbuan' dan polis hanya mengiringinya kerana rumah itu dianggap sebagai tempat bermasalah.

Aduan bertalu-talu

Menjelaskan tentang laporan yang membawa kepada lawatan ke rumah Amri, Mohd Asri berkata pihaknya menerima banyak aduan tetapi mengakui ia tidak direkodkan secara bertulis.

"Sekitar September hingga Oktober 2015, orang datang ke masjid dan tanya 'mufti tak ambil tindakan?'. (Aduan) luar biasa dan bertalu-talu.

"Ramai orang tanya apa yang berlaku di Padang Bohol (lokasi rumah Amri). Waktu malam mereka berkumpul untuk menyebarkan Syiah. Orang ramai takut anak mereka terlibat," katanya lagi.

Asri berkata, beliau tidak terlalu memikirkan soal perbezaan pemikiran dalam agama tetapi memutuskan untuk mengambil tindakan apabila orang ramai terganggu dengan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS