Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Setiap kali tiba musim pilihan raya, gambaran keadaan Masjid Batu di Kampung Pertama, Permatang Pauh itu kembali menjelma dalam kepala.

Untuk makluman, Masjid Batu - dan Masjid Permatang Janggus - yang saya kenal ialah antara masjid yang paling aktif berkuliah.

Sejak zaman Pulau Pinang di bawah BN lagi kedua-dua masjid itu sangat aktif. Pada waktu biasa hanya tiga empat malam saja yang tidak ada sebarang kuliah atau ceramah di situ.

Jika Ramadan tiba, jarang-jarang ada malam yang berlalu tanpa aktiviti ceramah atau kuliah. Ia juga menjadi antara masjid yang terawal memanfaatkan kemudahan teknologi semasa.

Di situ ada kamera yang memfokuskan muka penceramah, ustaz atau khatib. Kadang-kadang anda mungkin boleh melihat bulu hidung orang itu kerana fokusnya begitu dekat.

Dan melengkapkan kemudahan itu ialah beberapa unit TV bersaiz besar yang diletakkan di tempat strategik di dalam bangunan.

Ia bukan seni komunikasi massa yang terbaik kerana menyekat penonton melihat pergerakan tangan serta badan orang yang disorot. Tapi itulah yang ada dan ia mendapat tempat di hati ramai orang.

Pilihan raya dan bendera

Ada dua hal yang menarik berhampiran Masjid Batu itu. Di seberang jalan ada Masjid Papan yang biasanya kurang sambutan. Sebab? Ia masjid biasa-biasa dan penceramah PAS tidak ada di situ.

Di sebelah Masjid Batu ada kawasan perkuburan. Tanah wakaf - nama lain untuk rujukan tanah perkuburan - bersebelahan masjid bukanlah yang uniknya. Tapi pada ketika tertentu ada bendera dinaikkan di tepi kawasan itu. Biasanya diikat pada pokok atau tiang pagar.

Itu bertahun-tahun dululah. Sekarang sudah lama saya tidak melalui kawasan berkenaan. Mungkin amalan berkenaan masih kekal, tapi mungkin juga sudah berubah.

Cerita bendera berkibar megah ini sebenarnya klise jika ia dikaitkan dengan pilihan raya. Kalau ia adalah tentang bendera PAS, lagilah klise.

Siapa dapat mengalahkan kegigihan orang PAS memacakkan tiang atau menaikkan bendera. Sebelum cerita anak-anak muda memanjat bukit memasang lambang bulan itu baru-baru ini, ia sudah dilakukan di Kedah hampir dua dekad lampau.

Perang psikologi menggunakan bendera ini adalah salah satu kemahiran asas PAS. Bukan parti lain tidak handal, cuma PAS lebih handal.

Sebaliknya DAP dianggap 'sangat lemah' kalau pertimbangan kita dibuat berdasarkan jumlah bendera - besar atau kecil - yang dinaikkan menjelang mana-mana pilihan raya.

Petua kitab hadis

Bertahun-tahun lamanya dulu saya melintasi kawasan bandar Kampar. Ia adalah salah satu kawasan majoriti Cina dan lazimnya kubu kuat DAP.

Pada PRU yang itu bendera atau logo DAP sangat kurang kelihatan. Apa yang lebih menarik ialah, pondok panas yang dipasang di luar kawasan sebuah sekolah itu.

Ada beberapa muslimah PAS - yang dapat dikenal pasti berdasarkan cara tudung dan jubah mereka - bekerjasama dengan petugas DAP. Di situ adalah dua tiga bendera berkibar. Selebihnya, tidak meriah seperti yang diharapkan.

Bendera BN pula akan naik seiring dengan kisah pada sisi lain. Ada dua kemungkinan yang membuat operasi menaikkan bendera BN yang mudah menjadi perhatian.

Satu - petugas tidak mendapat upah (baca: peruntukan) daripada pemimpin bahagian atau cawangan. Dua - bilik gerakan tidak beroperasi kerana tiada peruntukan.

Khabar-khabar itulah akan menjadi penyedap sembang di kedai kopi di kalangan parti di luar BN.


Baca 'Pokok tak berbuah pun PAS panjat'


Jadi jika kekuatan sesebuah parti diukur kepada jumlah bendera yang dinaikkan, PAS adalah juara. Mereka mempunyai petugas yang tekal dengan kerja-kerja untuk parti.

Tidak dapat dipastikan sama ada kehebatan itu disebabkan oleh malaikat yang menjelma atau tidak adalah sesuatu hal yang penting untuk difikirkan.

PAS sudah lama boleh memerintah Malaysia - dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah adalah perdana menteri - jika bendera parti itu boleh mengundi.

Tapi tanpa bendera itu pun PAS sepatutnya sudah boleh menang. Mungkin cuma silapnya ialah - kalau mengikut logik seorang pemimpin pemuda PAS Permatang Pauh itu - penyokong dan petugas parti tidak selalu membawa bersama kitab Sahih Bukhari sebagai 'pendinding' bagi mengelak undi mereka dicuri.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS