Wawancara Malaysiakini

Misteri 'unit dana' 1MDB selepas tiga tahun

Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Arul Kanda Kandasamy dibawa masuk ke 1MDB pada awal 2015 sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) ketika hutang syarikat pelaburan negara itu mula dituntut.

1MDB ketika itu ditekan berkaitan status “unit” pelaburan AS$2.33 bilion Brazen Sky Ltd dalam dana yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Brazen Sky ialah anak syarikat 1MDB.

Seminggu selepas dilantik sebagai CEO, Arul Kanda mengeluarkan kenyataan pertama bahawa pelaburan pada 2012 itu telah ditebus sepenuhnya.

Bagaimanapun, pelaburan dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC sebenarnya tidak pernah ditebus sepenuhnya.

Malaysiakini sekali lagi mengemukakan perkara itu kepada Arul Kanda dalam wawancara baru-baru ini.

Apabila Arul Kanda mengisytiharkan “dana pelaburan” Brazen Sky telah ditebus sepenuhnya semasa beliau menjadi CEO, AS$1.39 bilion sepatutnya dalam bentuk tunai dan dengan segera dibelanjakan sementara baki AS$940 juta dalam bentuk unit itu untuk dijual kepada Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI).

Isu itu menjadi perhatian ketika perdana menteri merangkap menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak mendakwa lebihan itu akan turut ditebus dalam bentuk “tunai”. Kementerian Kewangan dua bulan kemudian menjelaskan, ia masih dalam bentuk “unit dana”.

Arul Kanda kemudian berkata beliau menjangkakan penebusan akan dibuat sepenuhnya dalam bentuk tunai dan beliau tidak sedar berkaitan rancangan untuk menjual sebahagian unit dana itu, yang diputuskan sebelum beliau menjadi CEO.

Baki AS$940 juta “unit dana” Brazen Sky tidak pernah dijual kepada Aabar BVI.

Penjelasan standard yang ditegaskan oleh Arul semasa wawancara itu, rancangan jualan itu “digantikan” dengan kertas-kertas terma bersama International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 27 Mei 2015.

Perjanjian itu menyaksikan IPIC mendahulukan AS$1 bilion kepada 1MDB dan menjangkakan tanggungjawab bayaran pokok dan bunga AS$3.5 bilion dalam dana 1MDB sebagai balasan terhadap pertukaran aset, termasuk “unit dana” Brazen Sky.

Rundingan itu bagaimanapun gagal dan 1MDB serta IPIC kemudian terpaksa melalui proses timbang tara, diikuti penyelesaian.

Jadi, tiga tahun selepas Arul Kanda mengisytiharkan “unit dana” Brazen Sky ditebus sepenuhnya, apa sebenarnya yang berlaku kepada baki AS$940 juta itu?

Terkenal dengan kecerdasan dan kemahiran komunikasi, bekas pendebat terkenal itu, sentiasa mempunyai jawapan bagi soalan-soalan dikemukakan itu. Beliau malah jarang menyimpang daripada persoalan.

Beliau pada mulanya nampak keberatan mengulas itu “unit dana” itu tetapi setelah diasak beliau mengakui ia belum ditebus.

Di bawah adalah transkrip wawancara itu:

Malaysiakini: Berkaitan unit Brazen Sky, pada dasarnya kamu tebus sebahagian daripadanya. Apa status baki AS$940 juta lagi? Adakah ia ditebus keseluruhannya?

Arul Kanda: Berkaitan unit-unit dana yang saya beritahu kamu, kita ada rancangan rasionalisasi dan rancangan itu memerlukan kita perlahan-lahan menduitkan (monetise) aset-aset bagi mencapai tanggungjawab. Jadi perkara itu adalah proses berterusan dan kamu telah lihat 1MDB telah berjaya membayar satu persatu faedah bagi hutang-hutang yang berbaki. Jadi kita ada proses yang kita secara progresif menduitkan aset-aset kita secara menyeluruh.

Malaysiakini: Tetapi berkaitan AS$940 juta itu, adakah ia telah dikeluarkan untuk membayar sesuatu atau masih AS$940 juta (dalam bentuk unit dana)?

Arul Kanda: Kita telah menduitkan sebahagian dana pelaburan itu.

Malaysiakini: Brazen Sky, secara khususnya?

Arul Kanda: Saya boleh cakap dengan terma-terma umum kan? Kita telah menduitkan sebahagian, tetapi macam saya beritahu kamu tadi, kita ada program-program dan kita akan menggunakan apa yang paling berkesan untuk syarikat ini dan untuk memenuhi keperluan segera kita.

Malaysiakini: Jadi, kamu tidak berhasrat menjawab apa yang berlaku pada unit-unit itu?

Arul Kanda: Tidak, saya tidak kata macam itu.

Malaysiakini: Maksud saya, kamu menjawab dengan terma-terma umum tetapi kami bertanya soalan yang khusus.

Arul Kanda: Saya berkata dengan terma-terma umum kerana... kamu dialu-alukan bertanya apa saja soalan yang kamu mahu, ini senario terbuka... dan sama juga, saya pun boleh beri jawapan kan? Kami harus ingat, kita ada pertimbangan komersial dan kita juga ada pertimbangan kerahsiaan. Kamu kena ingat, kami tandatangan perjanjian penyelesaian dengan IPIC. Perjanjian penyelesaian itu meliputi banyak perkara. Tetapi secara jujur, kami ada kekangan tentang apa yang boleh kami cakap dan apa yang tidak. Pada dasarnya saya mahu jawab soalan kamu, tetapi terdapat pertimbangan komersial dan kerahsiaan.

Malaysiakini: Adakah kamu mencadangkan apa yang berlaku kepada unit (Brazen Sky) itu rahsia? Saya rasa kamu ada tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang apa yang berlaku kepada unit-unit itu.

Arul Kanda: Seperti yang saya beritahu kamu, terdapat rancangan rasionalisasi dan dari pandangan syarikat, ia akan digunakan secara paling berkesan untuk perlahan-lahan menduitkan aset-aset kita untuk membayar hutang. Itu tanggungjawab kami.

Malaysiakini: Maaf kerana terus bercakap tentang baki unit-unit itu. Kami buat begitu kerana beberapa hari selepas kamu terima tugas ini, kamu beritahu rakyat Malaysia bahawa ia telah ditebus sepenuhnya.

Macam kamu katakan, terdapat kekeliruan berkaitan unit-unit dana itu dan ia kemudian digantikan dengan kertas terma IPIC yang mengikat. Jadi, sekarang, lebih tiga tahun kamu buat kenyataan umum dan memberitahu rakyat Malaysia ia telah dilupuskan, ia nampaknya macam masih ada di situ. Jadi kami harap kamu, jika boleh, jelaskan apa statusnya.

Arul Kanda: Kami sangat terbuka tentang bagaimana kami penuhi tanggungjawab hutang kami. Jadi jika kamu lihat pada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), terdapat set aliran tunai yang sangat terperinci. Jika kaku lihat banyak sesi ceramah yang saya lakukan dalam tempoh beberapa tahun, terutamanya dalam dua bulan terakhir, kami sentiasa kami pertama kita perlukan wang untuk operasi syarikat dan membayar cukai jangka pendek. Hasilnya, kamu jual Edra, kemudian kita ada hartanah Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange, (tanah) Air Hitam...

Malaysiakini: Maaf, kamu baru kata...

Arul Kanda: Kamu terus tanya soalan sama, kamu kena biar saya jawab. Jadi bagaimana dan penduitan (monetised) adalah fungsi-fungsi yang paling berkesan untuk syarikat buat. Ini jawapan mudah. Jadi saya tidak boleh beritahu kamu hari ini yang saya akan menduitkan unit-unit itu atau esok saya akan menduitkan tanah-tanah atau lusa saya akan menduitkan yang lain pula. Pada satu masa, apa yang paling berkesan untuk syarikat, kita akan buat.

Malaysiakini: Adakah kamu, untuk rekod, menjelaskan status baki unit-unit Brazen Sky? Jika tidak, kita akan terus ke isu lain.

Arul Kanda: Macam saya kata, kami sentiasa terbuka.

Malaysiakini: Berapa nilainya?

Arul Kanda: AS$2.5 bilion. Kami terbuka.

Malaysiakini: Adakah ia sebelum penebusan sebelum ini, apa jumlah lebihannya?

Arul Kanda: Kami pertahan AS$2.5 bilion sebagai nilainya dan macam saya beritahu kamu, kami menduitkan Edra, tanah, dana pelaburan – ia bergantung kepada keperluan syarikat dan apa yang paling berkesan. Jumlah aset penuh syarikat hari ini adalah RM$43 bilion – saya telah sebut secara terbuka – ia melibatkan nilai tanah, dana pelaburan dan juga deposit Aabar BVI. Itu RM43 bilion.

Malaysiakini: AS$2.5 juta itu unit Brazen Sky?

Arul Kanda: Tidak, tidak, kira-kira AS$940 juta adalah Brazen Sky. AS$1.5 bilion adalah 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL).

Malaysiakini: Jadi maksudnya AS$2.5 bilion masih ada? Adakah ia tidak ditebus?

Arul Kanda: Ya, macam yang saya beritahu kamu, kita ada rancangan berdasarkan masa dan kita ada aset-set yang kita perlukan untuk penuhi keperluan. Tetapi jika soalan kamu sama ada jumlah aset syarikat hari ini, nilai aset syarikat hari ini seperti yang kami secara terbuka nyatakannya ialah RM43 bilion. Tapi ingat, macam saya cakap tadi, sebahagian aset-aset ini dipindahkan ke Kementerian Kewangan, sebahagiannya masih dalam kunci kira-kira.

Malaysiakini: Jadi AS$2.5 bilion itu masih ada untuk digunakan 1MDB.

Arul Kanda: Sudah tentu, ia sebahagian daripada rancangan rasionalisasi.

[Baca berita asal]