Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam: Kenyataan Jab Perhutanan bercanggah dengan jawapan DUN

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa membangkitkan percanggahan kenyataan berhubung kelulusan projek pembalakan di Kelantan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor itu membandingkan kenyataan berbeza antara Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan Datuk Zahari Ibrahim dengan jawapan bertulis DUN.

Husam merujuk kenyataan Zahari 16 April lalu bahawa kerajaan negeri mengekalkan rekod tidak memberi kelulusan baru kawasan pembalakan, terutama penubuhan ladang hutan dalam hitan simpan kekal, sejak 2013.

Beliau mendakwa ia berbeza dengan jawapan DUN yang diterima pada 26 dan 27 Mac lalu yang menyatakan 12 lesen pembalakan dan perladangan di Hutan Simpan Gunung Basor telah diluluskan sejak 2014.

"Kedua tentang status perlesenan Hutan Simpan Berangkat antara 2015 hingga 2018 melibatkan kelulusan kepada 14 syarikat melalui projek perladangan dan pembalakan dengan keluasan 1,533 hektar," katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Husam sebelum ini menghantar surat bantahan kepada Menteri Besar Sementara Datuk Ahmad Yakob bagi mendesak pembekuan sebarang kelulusan projek balak, selepas difahamkan ada kertas cadangan agar satu permohonan diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).

Zahari kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata mesyuarat hanya membincangkan "perkara biasa" seperti menimbang permohonan industri pemprosesan kayu dan soal pemeliharaan hutan.

Sementara itu, Husam turut mendakwa jawapan parlimen sidang DUN lalu turut memaklumkan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat negeri itu meluluskan lesen cari gali berkeluasan 200 hektar di Ulu Nenggiri di Gua Musang, bagi tempoh setahun bermula 1 November 2017.

"Menurut pemahaman saya, apabila perlombongan dimulakan kayu balak akan ditebang. Kelulusan perlu mendapatkan pandangan dan persetujuan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan," katanya.

Berdasarkan jawapan sidang DUN itu, katanya, Zahari membuat kenyataan salah, mengelirukan dan tidak berdasarkan fakta sebenar.

"Justeru saya menuntut Zahari memohon maaf secara terbuka kepada saya dan rakyat Kelantan," katanya yang berkata telah menghatar surat tuntutan penjelasan adn maaf kepada Zahari dan juga Ahmad Yakob.
 

Lihat Komen
ADS