Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan nafi luluskan projek besar balak hari ini

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa bahawa Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP) akan meluluskan satu projek besar pembalakan hari ini.

"Saya merujuk kenyataan dikeluarkan Husam dalam nota bantahan dan surat yang ditujukan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan penasihat undang-undang Kelantan yang berkisar mengenai mesyuarat JKKP yang diadakan pagi pagi ini.

"Dakwaan kononnya ada kelulusan kawasan pembalakan yang luas akan dipertimbangkan dalam mesyuarat ini adalah tidak benar sama sekali," kata pengarah JPNK Datuk Zahari Ibrahim kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Husam mengutus surat kepada Ahmad sebagai menteri besar sementara supaya membekukan kelulusan balak kerana kelulusan sebegitu tidak harus dibuat ketika menjadi kerajaan sementara.

Penyandang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata, beliau difahamkan ada kertas cadangan untuk meluluskan permohonan-permohonan melibatkan hutan simpan dengan keluasan yang amat besar pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Zahari menegaskan hanya beberapa “perkara biasa” dibincangkan dalam mesyuarat JKKP.

Antaranya, kata beliau, mesyuarat JKKP menimbang permohonan industri-industri pemprosesan kayu dan membincangkan isu-isu semasa perhutanan berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan khazanah hutan.

"Saya juga menegaskan bahawa kerajaan negeri masih mengekalkan rekod tidak pernah memberi kelulusan baru kawasan pembalakan terutamanya penubuhan ladang hutan dalam Hutan simpanan kekal sejak tahun 2013," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan membuat satu laporan polis berhubung dakwaan Husam yang disifatkan sebagai palsu.

Lihat Komen
ADS