Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyitaan Equanimity tak sah: Mohon maaf untuk apa?
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 5:10 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Arul Kanda Kandasamy berkata pihak yang sebelum ini mengkritik 1MDB belum memohon maaf meskipun mahkamah Indonesia telah memutuskan penyitaan kapal layar mewah Equanimity tidak sah.

Ketua pegawai eksekutif 1MDB itu juga menyebut nama bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz yang mempersoalkan keperluan untuk beliau memohon maaf.

Dalam wawancara bersama Singapore Straits Times semalam, Arul Kanda berkata penyitaan kapal layar itu menyebabkan serangan terhadap 1MDB.

"Banyak kritikan terhadap 1MDB dan kerajaan termasuk dari orang seperti Rafidah dan Tan Sri Rais Yatim yang mempunyai niat tertentu, mereka buat pelbagai kenyataan berniat jahat dan mengelirukan.

"Namun selepas mahkamah Indonesia buat keputusan, mana permohonan maaf dari Rafidah, dari Rais, dari ahli politik pembangkang yang menghebohkan isu ini? Saya tak rasa mereka akan berbuat demikian," katanya.

Rafidah sebelum ini mempertikai alasan untuk beliau memohon maaf.

"Mohon maaf untuk apa? Kerana beritahu fakta?" katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini adalah berhubung persoalan kenapa pihak berkuasa Malaysia tidak dapat menjejaki atau merampas Equanimity sedangkan pihak berkuasa Indonesia mampu.

Rafidah sebaliknya berkata Arul Kanda yang seharusnya memohon maaf kepada rakyat.

"Berhenti cakap benda mengarut. Arul Kanda seharusnya cuba jelaskan sejujurnya tentang 1MDB kepada rakyat yang tak boleh terima apa yang dibebelkannya sehingga kini.

"Saya percaya rakyat lebih berhak menerima permhohonan maaf," katanya.

Polis Indonesia menyita Equanimity pada 28 Februari lalu dalam satu operasi bersama FBI di perairan Bali.

Pemilik berdaftar kapal layar itu Equanimity (Cayman) Ltd mencabar penyitaan itu di mahkamah yang akhirnya diputuskan hakim sebagai tidak mengikut undang-undang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS