Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 akan dikaji semula, termasuk menimbangkan cadangan mewujudkan semula sudut penceramah di institut pengajian tinggi.

Bagi tujuan itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohamed Salleh berkata, sebuah jawatankuasa yang dianggotai golongan berkepentingan dalam bidang pendidikan, pegawai perundangan dan ibu bapa akan ditubuhkan.

"Telah banyak diperkatakan mengenai Auku. Sudah tiba masanya (dikaji semula) memandangkan ia sudah lebih 30 tahun supaya ia lebih efektif," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 700 anak yatim dan fakir miskin di Banting semalam.

Shafie berkata, beliau menerima banyak rungutan mengenai penuntut universiti yang "kaku, malu dan tidak reti bercakap" dan ramai yang mencadangkan agar sudut penceramah diwujudkan semula.

Menurut laporn Benama, beliau berkata sudut penceramah begitu aktif di universiti negara ini pada tahun 70-an yang telah berjaya melahirkan penuntut yang bagus dan dapat melahirkan idea bernas.

Shafie berkata, walaupun pihak universiti tidak pernah menyekat kebebasan bersuara di kalangan penuntutnya sekarang tetapi dengan adanya sudut pencermah itu, penuntut boleh melahirkan pendapat melalui saluran yang terancang.

"Sekarang kalau nak berucap, keadaannya lebih selesa, bilik berhawa dingin tapi nampaknya tidak berapa berjalan. Di Sudut Pencermah boleh dibuat secara spontan. Kalau dia teringat nak cakap, dia naik pentas dan berucap," katanya.