Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbicaraan kes saman terhadap Sarawak Report akan bermula Isnin ini di London.

Katanya berdasarkan, perkembangan semasa 80 peratus peluang PAS untuk menang saman fitnah terhadap Editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown.

Katanya, ia berdasarkan bukti-bukti yang telah dihantar peguam di Malaysia.

"PAS sudah saman surat khabar ini (Sarawak Report) insya-Allah Isnin ini akan mula dibicara dan keputusan mungkin beberapa hari selepas itu, peguam kita di London yang ambil kes ini memberi keyakinan kita akan menang, dia (Sarawak Report) kena bayar belanja kewangan kita sebab bukan murah berjumlah RM1 juta.

"Kita suruh minta maaf dia tak nak minta maaf, kita dah hantar segala dokumen melalui peguam kita di sini dan peluang kita menang 80 peratus.

"Orang kata nak bayar RM1 juta PAS ambil duit dari mana, ada orang PAS yang kaya-kaya yang tolong kita bayar dulu, selepas itu kita kutip derma balik untuk bayar, orang yang fitnah ini ada di Malaysia tetapi dilapor akhbar luar, mereka sembunyi di Malaysia ini," katanya di hadapan kira-kira seribu hadirin.

Malam tadi Hadi bersama calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Marang hadir ke ceramah perdana pertama mereka sebaik sahaja penamaan calon di Perkarangan Pasar Binjai Rendah, Bukit Payong, Terengganu.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu.

Ia susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak 'menarik' kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi turut memaklumkan PAS menggunakan peguam sama untuk menguruskan kes saman Sarawak Report yang pernah menguruskan kes saman akhbar Daily Mirror di England yang menuduh presiden PAS itu pengganas nombor dua dalam dunia pada 2007.

"Peguam yang ambil kes ini pernah tolong saya semasa surat khabar di England kata saya pengganas nombor dua dalam dunia, akhbar itu bersama Daily Mirror kalau tak silap saya, kita bicara di mahkamah di England dan kita menang dan akhbar itu kena bayar kepada saya RM400,000,"katanya.

Pada Oktober 2007, Hadi menang kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan di London berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Pada 1 Mei 2007, edisi cetak dan juga web Daily Mirror menyiarkan gambar Hadi dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Ia menyebut Abdul Hadi sebagai pemimpin ketiga Al-Qaeda dan berkata dia telahpun ditangkap dan ditahan di Guantanamo Bay.

Dalam permohonan maaf yang disiarkan dalam laman webnya, Daily Mirror berkata: "Ini tidak benar dan gambar itu telah tersalah siar. Artikel kami sebenarnya merujuk kepada orang lain, Abdul Hadi al Iraqi."


 

Lihat Komen
ADS