Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengundi S'wak jangan terpengaruh politik Dr M'

PRU14 | Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatan rayat Sarawak, khususnya pengundi supaya jangan sesekali terpengaruhi dengan permainan politik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sama-sama berjuang dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menghadapi pilihan raya ini.

Awang Tengah mahu rakyat Sarawak jangan sesekali lupa bagaimanapun Mahathir melayan negeri dan rakyat Sarawak selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri dan bagaimana layanan Anwar selama menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Menurut Awang Tengah, selama 22 tahun Mahathir tidak banyak melawat negeri itu dan peruntukan yang disalurkan amat sedikit berbanding jumlah yang disalurkan sepanjang sembilan tahun Najib sebagai perdana menteri.

“Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sepatutnya dibina lebih awal daripada Universiti Malaysia Sabah tetapi kerana kepentingan politik peribadi Anwar telah memindahkan peruntukan yang telah diluluskan untuk Unimas kepada Universiti Malaysia Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Ngeri, di bawah inisiatif baru Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan Kampung Tradisi di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.

Sebanyak 414 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kampung tradisi telah diserahkan kepada 398 orang penerima dari dua kampung Melayu, iaitu Kampung Empila dan Kampung Pangalan Kuap.

Pada majlis sama Awang Tengah turut menyerahkan 14 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada 14 orang pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi kawasan Tanjung Parang.

Di seluruh negeri pula, katanya sebanyak 45 kawasan seluas 23,919 hektar siap diukur dengan jumlah lot sebanyak 19,758 dan daripada jumlah itu sebanyak 7,609 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah.

Sementara itu, Awang Tengah berkata program pengukuran kampung tradisi adalah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah penduduk kampung bagi kampung yang telah lama wujud.

Katanya, melalui pengukuran tanah yang dilasanakan, sempadan tanah menjadi jelas dan diketahui bagi mengelak sebarang pencerobohan dan pertikaian.

“Malah ia juga menepis dakwaan setengah pihak yang mengatakan mereka menjadi setinggan di atas tanah sendiri,” katanya.

Menurut Awang Tengah, setakat ini sebanyak 350 kampung yang melibatkan 47,532 lot telah dikeluarkan surat hak milik di seluruh Sarawak menerusi program ini, termasuk 48 kampung di bahagian Samarahan dengan jumlah 5,212 lot telah dikeluarkan surat hak milik.

“Penyertaan surat hak milik ini membuktikan kerajaan mengiktiraf dan menjamin hak milik sepenuhnya ke atas lot kediaman kampung yang telah lama wujud,” katanya.

Beliau berkata keistimewaan surat hak milik Seksyen 18 ialah pemilik tanah tidak perlu membayar premium, cukai tanah dan lain-lain yuran, manakala tempoh pegangan adalah kekal selama-lamanya.

Turut hadir ada majlis berkenaan ialah ADUN Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Abang Jamallidon Abang Ullie, calon BN Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS