Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hishammuddin: Potong gambar wajah Mahathir tak wajar
Diterbitkan:  May 1, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

PRU14 | Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa pihak berkuasa tidak memotong gambar wajah pemimpin politik sama ada BN ataupun pembangkang.

Menyifatkan tindakan itu tidak wajar, Hishammuddin berkata, pihak berkuasa seharusnya hanya menurunkan bahan kempen berkenaan.

“Kalau sepanduk itu tak sesuai, turunkan sepanduk itu. Nak potong-potong muka saya rasa bukan perkara saya secara peribadi setuju walaupun (sepanduk itu) melanggar undang-undang.

“Kalau langgar undang-undang, turunkan sepanduk itu. Potong-potong gambar saya rasa tak kena dan saya harap mereka mengambil perhatian,” katanya tanpa menyebut nama tertentu.

Bagaimanapun, semalam pihak berkuasa memotong gambar Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dari papan iklan yang dinaikkan pasukan kempen calon HARAPAN parlimen Ayer Hitam, Liew Chin Tong.

Menurut Liew, SPR juga mengarahkannya agar tidak menaikkan sebarang poster, sepanduk atau kain rentang yang memaparkan gambar Dr Mahathir.

Selain pemimpin HARAPAN, bekas menteri Umno Tan Sri Rais Yatim turut mengecam perkara itu yang menyifatkan SPR bersikap tidak adil kerana pada masa sama membiarkan gambar Presiden Republik China Xi Jinping pada papan iklan MCA.

 

 

Mengulas lanjut Hishammuddin yang merupakan calon Umno bagi parlimen Sembrong berkata, meskipun pihak berkuasa mempunyai alasan dengan tindakan mereka, ada banyak cara menguatkuasakan undang-undang.

“Sama ada SPR atau pihak berkuasa tempatan, apa yang saya cuba katakan, tidak elok memotong gambar wajah orang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, pada 29 April lalu, SPR turut memotong gambar wajah isteri perdana menteri sementara Datin Seri Rosmah Mansor pada papan iklan HARAPAN di kawasan itu kerana tiada kaitan dengan pilihan raya.

Ia susulan syarat tambahan yang diperkenalkan SPR minggu lalu, yang antara lain menyatakan hanya imej presiden dan timbalan presiden parti yang boleh diletakkan bersama dengan gambar calon.

Lihat Komen
ADS