Paling Popular
Terkini

PRU14 | Kerusi Parlimen Selangau pastinya menarik banyak perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pentas pertandingan akan memperlihatkan pertemuan di antara dua peguam, Rita Sarimah Insol, 57, daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Baru Bian, yang dikatakan terkenal dengan banyak kes mahkamah melibatkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan perjuangannya untuk melindungi kaum Dayak dan hak-hak negeri.

Baru, 59, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan yang juga Ketua PKR negeri sedang menguji hadnya, seorang berketurunan Lun Bawang (masyarakat Orang Ulu) dari tanah tinggi Lawas di bahagian Limbang, kini berusaha untuk menakluk kerusi majoriti kaum Iban itu.

Selangau yang terletak kira-kira 74 kilometer dari Sibu, terdiri daripada kawasan DUN Tamin dan Kakus (kira-kira saiz negeri Pahang), kedua-duanya dikuasai PRS.

Anggota Parlimen Selangau selama tiga penggal, Datuk Joseph Entulu (gambar) merupakan Timbalan Presiden PRS tetapi telah dipecat pada 15 April lepas kerana melanggar disiplin parti.

Baru berkata beliau dijemput oleh pemimpin PKR tempatan untuk ke Selangau. Dianggarkan terdapat lebih 300 kes mahkamah masih menunggu perbicaraan di seluruh negeri dan kebanyakannya dari kawasan luar bandar itu.

Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing melancarkan serangan pertamanya apabila berkata Baru tidak akan bernasib baik di Selangau yang mana 96 peratus daripada 30,026 pengundi berdaftar adalah kaum Iban.

“Sebagai orang luar, beliau tidak bercakap Iban, tidak akan tahu masalah rakyat tempatan...tetapi beliau dialu-alukan untuk bertanding,” kata Masing (gambar).

Majang Renggi, anggota Majlis Tertinggi PRS dan ADUN Samalaju memberitahu Bernama bahawa Baru dan PKR pada dasarnya akan membangkitkan dua isu.

“Pertama adalah pemecatan Entulu dan pembantunya Andriana Chumang Nyabong. Penyokong mereka marah dengan pemecatan itu dan mahu membalas dendam dengan menyokong Baru. Kita perlu ingat di sini bahawa Entulu telah menjadi penyandang selama tiga penggal.

“Kedua, Baru pastinya menjadi perhatian dengan banyak kes mahkamah membabitkan isu tanah NCR. Beliau bagaimanapun hanyalah sebuah jenama apabila memperkatakan mengenai isu tersebut dan telah mewakili banyak pengadu,” katanya.

Majang menambah, agama boleh memberi impak kepada PRU kali ini kerana Baru adalah pendakwah dihormati Sidang Injil Borneo (SIB) atau denominasi Borneo Evangelical Mission Christian. Terdapat kira-kira 700 penganut setia di kawasan Kakus.

Pindaan kanun tanah negeri

Mengenai pelan peneutralan, seorang lagi anggota Majlis Tertinggi PRS dan ADUN Pelagus Wilson Nyabong berkata parti itu akan berusaha menyembuhkan luka dalam kalangan penyokong Entulu dan memikat mereka untuk menyokong BN kerana selama ini mereka merupakan penyokong kuat parti itu.

Entulu memenangi PRU13 dengan majoriti 7,555 undi menewaskan dua pencabar termasuk seorang daripada PKR.

“Mengenai tanah NCR, kami akan menjemput pakar untuk menyertai ceramah kami bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri mempunyai inisiatifnya sendiri untuk menyelesaikan isu bukan pengiktirafan/pemilikan mereka.

“Sebagai contoh, pindaan kepada Kanun Tanah negeri akan dibentangkan di DUN pada persidangan Julai ini.

“Pindaan itu, hasil gabungan daripada perbincangan antara profesional Dayak dan pakar-pakar serta kerajaan, akan memberi definisi dan pengiktirafan yang lebih baik kepada dua komponen penting dalam tanah NCR seperti ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’,” katanya.

Bagi Rita Sarimah, 14 bulan yang lepas adalah langkah permulaan yang memenatkan tetapi memuaskan hatinya apabila beliau dan suaminya membuat lawatan ke 800 rumah panjang di Selangau.

“Kami akan bertolak pada 4.30 pagi atau 5 pagi. Walaupun penat, kami sangat gembira dengan sambutan hangat dan jaminan yang diberikan. Kami berasa kagum dengan janji daripada rakyat apabila mereka kata akan menyokong saya selagi saya daripada BN. Saya berharap mereka akan mengingati janji mereka pada 9 Mei ini.

“Saya mungkin masih hijau dalam politik tetapi selepas lawatan ini, saya sedar betapa pentingnya dapat berkhidmat kepada rakyat dengan baik. Anda tidak perlu menjadi Datuk atau mempunyai kedudukan tinggi untuk melakukan sedemikian. Anda mesti mempunyai hati dan komitmen," katanya.

Rita Sarimah merupakan penasihat undang-undang Bintulu Port Holdings Berhad sebelum bersara lima tahun lepas. Sebelum itu, beliau adalah majistret selama lima tahun.

Suaminya, Timothy Gima berasal dari Rumah Wiliam Bansa di Dijih di Sibu, mereka mempunyai tiga anak iaitu masing-masing doktor, ahli farmasi dan doktor gigi.

Rita Sarimah berkata beliau mula mengasah kemahiran kepimpinannya sebagai Ketua Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Bintulu selama 17 tahun. Kini beliau Timbalan Presiden Persatuan Penanam Pokok Kelapa Sawit Sarawak (DOPPA) yang menggalakkan pemilik tanah Dayak menjadi pekebun kecil kelapa sawit.

Pertempuran di Selangau sememangnya akan menjadi medan ujian sama ada rakyat akan mendukung litigasi mengenai isu tanah NCR atau mereka merasionalkan dengan kerajaan terhadap pindaan Kanun Tanah negeri.

Ia akan menjadi ‘ibu segala pertandingan’ di negeri ini yang mana hujah-hujah dan balasan mengenai isu tanah NCR akan dinyatakan secara bijak dan lantang.


-Bernama

Lihat Komen
ADS