Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Umno menganggap isu yang melanda keluarga bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) memiliki hikmah tersendiri.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyertaan anak kedua Nik Abdul Aziz, Nik Omar sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di DUN Chempaka adalah perkara biasa dalam politik.

Tambahan pula katanya, Nik Omar hanya terjun dalam lapangan politik dan bukan "menukar agama".

"Ia merupakan warna-warni politik semasa kerana Nik Omar hanya menyertai politik dan bukannya menukar agama.

"Beliau seorang yang bijaksana yang sudah pasti tindakannya itu berasaskan alasan kukuh dengan sokongan daripada keluarga," katanya ketika ditemui pada mjlis ramah mesra bersama media Kelantan di Melor, Kota Bharu, hari ini.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Nik Omar tampil mengejutkan banyak pihak apabila diumumkan sebagai calon HARAPAN di kerusi tradisi yang ditandingi arwah bapanya.

Pengetua Maahad Darul Anwar itu kini aktif berkempen dan berceramah di pentas politik yang menggabungkan Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP.

Keputusan Nik Omar bertanding atas tiket AMANAH menerima kritikan hebat adiknya, Nik Abduh yang mendakwa ibu mereka akan membantu kempen PAS di DUN Chempaka.

'Sudah difikir secara mendalam'

Sementara itu, Annuar yang juga calon BN parlimen Ketereh berkata, penyertaan Nik Omar pastinya sudah difikirkan dengan mendalam sebagai seorang yang berilmu.

"Politik itu ciptaan manusia, tapi dulu orang kata politik itu agama, maka orang rasa aneh bila Nik Omar pergi ke parti yang tak sama dengan Almarhum ayahnya.

"Adakah Nik Omar tukar agama? Tak mungkin (sebab) dia berilmu berpelajaran dan mudir institusi agama. Saya fikir dia tak terjun semena-mena, dia dah fikir kenapa pilih AMANAH, kerana itu adalah politik," ujarnya.

Tambah Annuar, dalam berpolitik sesiapa sahaja boleh memilih haluan sendiri tanpa mengira latar belakang.

"Ini merupakan satu pentunjuk dan pengajaran Allah kepada rakyat Kelantan sebagai bukti parti bukannya agama dan boleh bertukar.

"Yang penting adalah dasar dan wadah perjuangan sesebuah parti itu yang menjadi penilaian rakyat, " katanya.

Lihat Komen
ADS