Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bonda akan kempen tentang Nik Omar, dakwa adik
Diterbitkan:  Apr 30, 2018 4:34 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

PRU14 l Ada kemungkinan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Chempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz bakal ditentang ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika kempen pilihan raya ini.

Sekurang-kurangnya itulah yang dikatakan anggota jawatankuasa PAS Pusat dan juga adik Nik Omar, Nik Abduh dalam kenyataannya hari ini.

Nik Abduh mendakwa Tuan Sabariah akan berkempen untuk PAS di DUN Chempaka dan Parlimen Pengkalan Chepa.

"Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempen di Parlimen Bachok (yang ditandinginya) atas faktor kesihatan yang sedikit membataskan pergerakan, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS dan rakyat Bachok.

"Tetapi disebabkan ada sedikit gangguan dari dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana," katanya.


BacaNik Abduh: Dua kali bonda 'ditembak'


Calon PAS di DUN Chempaka adalah penyandangnya Ahmad Fathan Mahmood manakala di Parlimen Ahmad Marzuk Shaary.

Kemunculan Nik Omar di pusat penamaan calon dua hari lalu mengejutkan ramai orang.

Apatah lagi selepas beliau sebelum ini dilaporkan tidak jadi bertanding kerana dilarang ibunya.

Utusan hari ini memetik Nik Abduh sebagai berkata Tuan Sabariah tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung langkah Nik Omar (gambar) dan sebarang penjelasan hanya akan datang daripada dirinya.

Dr Mahathir dan Ikram

Sementara itu, Nik Abduh mendakwa ibunya kini "berehat beberapa hari" kerana masih dilanda kesedihan dengan apa yang berlaku itu.

"...Akibat tembakan yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram. Dua hari lepas, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda.

"Ini tembakan kedua selepas tembakan pertama oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan. Hari ini Tun Mahathir dan Ikram itu bersama-sama bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam Kelantan," katanya lagi.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung, Nik Abduh dipercayai merujuk kepada Pertubuhan Ikram Malaysia, sebuah gerakan Islam di negara ini.

Sebelum ini, Nik Omar dikatakan lebih bergiat dengan Ikram - atau pendahulunya Jemaah Islah Malaysia (JIM) - berbanding PAS.

Lihat Komen
ADS