Walaupun tarikh pemilihan pucuk pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) belum ditentukan tarikhnya, namun bahang perebutan jawatan memuncak semalam apabila dua pemimpin kanannya dipecat dan ibupejabat persatuan itu diserang awal pagi tadi.

Sekumpulan lelaki yang menaiki empat buah kereta dilaporkan telah menyerang ibu pejabat GPMS di No. 1, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, berdekatan Kementerian Kerja Raya.

Menurut Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad, serangan tersebut berlaku pada kira-kira jam 3.20 pagi. Kumpulan lelaki itu memecahkan pintu utama dan tingkap-tingkap banglo kerajaan yang menjadi ibupejabat persatuan itu.

"Kumpulan samseng" itu juga katanya mengugut kakitangan GPMS yang berada di banglo tersebut.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di balai polis Dang Wangi pagi tadi.

Ekoran serangan tersebut, kata Sobri, ibu pejabat pesatuan itu ditutup sementara kerana bimbangkan keselamatan kakitangannya.

Beliau mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) GPMS memecat dua pemimpin kanannya dan menggantung keahlian seorang pemimpin lain persatuan itu semalam.

Pecat pemimpin

Dalam mesyuarat bulanan MT petang semalam, semua 17 anggotanya yang hadir sebulat suara bersetuju memecat Timbalan Presidennya, Shahrir Rejab dan Setiausaha GPMS Terengganu, Syed Anuar Syed Mohamad.

Sobri yang dihubungi malaysiakini menjelaskan, mereka berdua dipecat kerana tindak-tanduk mereka yang mencemar nama baik pertubuhan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Mesyuarat tersebut juga menggantung keahlian seorang ahli MT, Jais Abdul Karim berkaitan masalah kutipan yuran keahlian.

Menurut Sobri, Jais digantung hingga siasatan ke atasnya selesai.

Shahrir yang juga Pengerusi GPMS Pulau Pinang telah membuat kenyataan di Seremban minggu lalu bahawa dua pertiga anggota MT gabungan itu mendesak supaya persidangan agung kali ke-53 diadakan sebelum akhir tahun ini.

Menuruth Shahrir lagi, satu petisyen akan dihantar kepada Setiauasa Agung GPMS secepat mungkin, kerana mendakwa presiden gabungan itu, Datuk Suhaimi Ibrahim belum mahu menetapkan tarikh persidangan dengan pelbagai alasan.

Beliau menuduh Suhaimi sengaja melambat-lambat persidangan itu kerana mahu kekal berkuasa dan takut dicabar.

Perebutan jawatan

Shahrir dan Syed Anuar adalah penyokong kuat Naib Presiden GPMS, Rizal Merican Naina Merican yang telah mengumumkan keputusannya untuk mencabar Suhaimi bagi merebut jawatan Presiden.

Sementara itu, Sobri berkata, mesyuarat semalam telah memutuskan untuk mengadakan persidangan agung khas pada 17 dan 18 Disember depan di Kuala Lumpur.

Persidangan khas itu perlu dibuat kerana Persidangan tahunan GPMS kali ke-53 yang sepatutnya dilangsungkan pada Jun lalu gagal diadakan.

Di persidangan khas itu, laporan tahunan dan penyata kewangan GPMS akan dibentangkan.

Menurut Sobri lagi, persidangan agung GPMS yang ke-53 hanya akan diadakan selepas persidangan khas tersebut.

Katanya, persidangan agung itu tidak boleh diadakan segera kerana kerja-kerja mengemaskini data keahlian belum selesai.

"Keahlian GPMS perlu dikemasikinikan dulu bagi memastikan senarai keahlian yana adalah tulen. Kita tidak mahu ada ahli-ahli palsu atau " hantu " menyertai persidangan itu," ujarnya.

Yuran keahlian

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan persidangan agung GPMS mengikut peraturan dan berjalan secara sah.

Tegasnya, kerja semakan keahlian itu bukan bertujuan melengah-lengahkan persidangan dan pemilihan anggota MT.

Menurut Sobri lagi, mesyuarat semalam juga menubuhkan jawatankuasa audit dalaman bagi menyiasat kutipan wang keahlian yang dilakukan sejak tahun lalu.

Katanya, ini berikutan dakwaan ada anggota MT yang mengutip yuran keahlian tetapi wang tidak dimasukkan ke dalam akaun GPMS pusat.

GPMS mempunyai keahlian kira-kira 400,000 orang. Yuran keahliannya ialah RM10 sekaligus.