Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Jika dulu Langkawi jadi perhatian kerana adanya ada Mahsuri, seminggu dua ini pulau peranginan itu menjadi tatapan ramai sekali lagi kerana adanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dia sudah melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno selama 15 tahun namun keadaan semasa politik mendorongnya kembali aktif.

Dengan munculnya Dr Mahathir, Langkawi menjadi satu daripada kerusi paling panas dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Pulau yang cukup sinonim dengan legenda Mahsuri itu bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Dr Mahathir, Datuk Nawawi Ahmad (BN dan penyandang) serta Zubir Ahmad (PAS).

Hari ini sudah enam hari kempen secara rasmi bermula dan ada tempoh empat hari sebelum orang ramai mengundi di seluruh negara.

Pun begitu tidak seperti PRU lalu perang poster mahupun pemidang masih belum cukup panas. Ada kemungkinan suhu perang itu memang tidak akan meningkat lebih tinggi beberapa hari ini.

Meskipun begitu, Langkawi tetap menjadi tumpuan ketua-ketua parti. Justeru pulau ini menjadi kunjungan dan ceramah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Biar Mahathir berehat

Cumanya, Abdul Hadi datang lebih awal, manakala Najib bakal menjejakkan kaki - untuk kesekian kalinya - ke Langkawi pada petang ini.

Mereka menyertai saingan untuk memikat hati 42,697 pengundi berdaftar di pulau tersebut.

Berbeza parti namun Abdul Hadi dan Najib ditemukan oleh satu persamaan: kedua-dua mereka berkempen supaya rakyat tidak mengundi Dr Mahathir.

Abdul Hadi misalnya dengan nada memujuk meminta rakyat tidak mengundi bekas perdana menteri selama 22 tahun itu bagi memberikan ruang kepadanya untuk berehat.

“Jika sayangkan Dr Mahathir jangan undi dia, biarlah dia berehat dan habiskan masa tuanya. Bukan masanya (untuk) dia jadi perdana menteri (sekali) lagi,” pujuk Hadi yang memang terkenal dengan bidalan dan analogi dalam ucapannya.

Ada dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) di bawah parlimen Langkawi, iaitu Ayer Hangat dan Kuah.

Sebelum ini kedua-dua DUN berkenaan serta Langkawi memang menjadi milik BN. Cubaan demi cubaan dilakukan pembangkang untuk merampasnya hanya bertemu kegagalan.

Namun tiada sesiapa boleh menafikan sekarang ada faktor lain perlu diambil kira, termasuk kehadiran susuk Dr Mahathir yang mungkin mengundang sesuatu yang luar biasa.

Dr Mahathir mempertaruhkan modal jasa dan khidmat baktinya selama mentadbir negara dan dalam pembangunan pulau peranginan bebas cukai itu bagi menumbangkan BN.

Tiada siapa boleh menafikan jasanya membangunkan pulau ini. Antaranya pada 1954 dia dilantik sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar. Sambil itu dia memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

Dr Mahathir juga orang yang bertanggungjawab mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai pada 1987, selain menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Walaupun membuat kemunculan semula selepas bertahun-tahun hilang dari radar politik aktif, jasa Dr Mahathir tetap boleh dilihat di kawasan itu.

Jalan sana sini

Di Kampung Kilim, tersergam Galeria Perdana yang mempamerkan hadiah-hadiah dan cenderamata yang diterima daripada ketua-ketua negara asing sepanjang tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri.

Galeria Perdana yang juga disebut-sebut "Muzium Mahathir” juga menerima kunjungan terbanyak selepas Muzium negara dengan anggaran pengunjung 120,000 setahun.

Sementara itu Nawawi pula berkata rakyat Langkawi perlu memilihnya kerana dia anak tempatan dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Kata tokoh yang mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan itu, selama menjadi anggota parlimen dia juga berusaha membawa pembaharuan, kemakmuran dan kemajuan di kawasan itu.

Selain itu Nawawi juga menyifatkan dirinya antara pemimpin yang lebih mudah didekati oleh rakyat di daerah itu berbanding Dr Mahathir yang perlu membuat jelajah di seluruh negara.

“Kelebihan saya dari segi tenaga dan kuat bekerja, mudah memberi tumpuan untuk Langkawi.

"Tun (Dr Mahathir) pula tak ada masa kerana dia perlu jaga seluruh negara, jalan sana sini kena bagi ucapan.

“Saya hanya fokus kawasan saya Langkawi dan kelebihan saya, saya anak watan Langkawi, yang dilahirkan di Langkawi yang sentiasa bergelumang dengan masyarakat, dan senang didekati.

"Dalam kampung, ketika beli ikan pun mereka senang nak jumpa saya," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi calon PAS, pengalamannya dalam PRU sebelum ini tidak boleh ditolak tepi begitu saja.

Zubir dan PRU bukan asing. Dia pernah mewakili PAS pada PRU 2008 dan 2013 bagi merebut kerusi DUN Ayer Hangat. Cuma nasib tidak menyebelahinya pada kedua-dua PRU berkenaan.

Namun ia bukan halangan untuk Zubir percaya dia boleh menang. Sejak dari awal dia yakin mampu membuat kejutan dan membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat.

Cina, India dirai

Puncanya, dia melihat sokongan pengundi Umno kini terbelah dua di antara Dr Mahathir dan Nawawi.

Sementara itu sesuai sifatnya sebagai pertembungan strategi, kempen di Langkawi turut diwarnai dengan bahan kempen tidak sepatutnya.

Misalnya tersebar risalah yang memainkan sentimen perkauman dan ia diedarkan di Jeti Kuah serta kawasan perumahan penduduk berbangsa Cina.

Dalam bahan bercetak yang tidak diketahui asal keturunannya itu pihak terbabit menuduh Dr Mahathir seorang ahli politik yang anti-Cina dan antiraja.

Di pihak Dr Mahathir corak kempen HARAPAN lebih kepada pendekatan bertemu dengan kelompok khusus seperti pengusaha pelancongan bagi mendengar masalah yang mereka hadapi.

Pengerusi HARAPAN itu turut memberi keyakinan kepada pengusaha teksi masalah bahawa isu yang dekat dengan mereka - seperti e-hailing - dapat diselesaikan secara berperingkat dan adil kepada semua.

Selain itu Dr Mahathir turut bertemu masyarakat India dan Cina di dua tempat berbeza selepas penamaan calon bagi mendengar rungutan dan menggesa kesemua mereka bersatu untuk menyelamatkan Malaysia.

Antara isu yang disentuh, masalah kad pengenalan biru kepada masyarakat tua kaum India serta menangani masalah pekerjaan di kalangan mereka.

Walaupun pada PRU ke-13 Nawawi menang besar (majoriti 11,861 undi) dalam pertandingan tiga penjuru, kali ini beliau memilih untuk mengadakan kempen senyap dengan mengadakan pertemuan di pusat daerah mengundi (PDM) serta beberapa program rakyat dengan dengan mengambil pendekatan tanpa memaklumkan kepada media.

Menerusi kempen itu, Nawawi turut mengingatkan rakyat Langkawi mengenai rekod perkhidmatannya selama ini serta mereka akan menikmati manfaat besar menerusi peruntukan RM1.315 bilion bagi lima projek baru yang telah direncana kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Selain itu BN Langkawi juga berikrar akan menangani masalah pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri bagi membantu mereka menjana pendapatan khususnya menjadi usahawan dalam sektor pelancongan.

Bagi Zubir pula, dia tidak melupakan kalangan anak muda dengan mengadakan program santai di pondok panas, serta membuat lawatan di jabatan-jabatan kerajaan Langkawi.

Ekonomi kini sakit

Zubir juga tidak ketinggalan berkempen sepentas dengan Abdul Hadi dalam majlis ceramah dengan kehadiran mencecah 1,000 orang 1 Mei lalu.

Dalam ceramahnya, Zubir mengingatkan rakyat mengenai keupayaan dirinya berbanding Dr Mahathir yang diibaratkan seperti “kereta Dutson 120Y yang dipandu Michael Schumacher” yang tidak mampu memandu jauh untuk memimpin negara.

Selain itu beliau juga mengingatkan kewajiban rakyat memilih pemimpin di kalangan parti yang memperjuangkan Islam.

Di kalangan penduduk setempat, Wan Suhaimi Wan Saad, 58 pula melihat perang bendera memperlihatkan HARAPAN telah mendahului parti-parti lain yang bertanding dengan menyifatkan gabungan itu sudah menang awal.

Bagaimanapun ia bukan ukuran kerana segalanya hanya akan terjawab di kertas undi.

Bagi pengundi muda, Muhammad Noordaniel Mohd Nazir, 21, dia tidak teruja dengan kehadiran Dr Mahathir untuk bertanding di sini.

Katanya, juga rakyat di sini kini berjuang untuk meneruskan kehidupan dengan berhadapan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Katanya, walaupun HARAPAN menampilkan Dr Mahahir, namun kempen tersebut tidak menyeluruh seperti dilakukan BN yang masuk ke kampung-kampung untuk memberi bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Selain itu Ahmad Zamri Zainul, berpendapat kempen HARAPAN lebih ke hadapan namun agak kecewa kerana banyak legasi Langkawi tergadai. Antaranya Dataran Lang.

Pekerja swasta itu berharap dengan kehadiran Dr Mahathir kegemilangan Langkawi dapat dikembalikan semula seperti suatu ketika dulu.

“Semasa Tun pegang ekonomi pulih, tak ada masalah. Sekarang ni ekonomi sakit walaupun kita anak jati Langkawi pun rasa sakit.

“Walaupun Dr Mahathir orang luar, saya setuju sangatlah dengan calon yang ditampilkan HARAPAN,” katanya.


Baca Dr M disiasat dakwaan sebar berita palsu


Muhammad Zaki Ishak pula melihat walaupun HARAPAN menampilkan calon tua namun keupayaan idea Dr Mahathir tidak boleh dipertikai.

“Walaupun tua, otak dia tak tua, akal macam tu juga, kita nak pentadbiran macam dulu. Kita nak kemajuan, kemudahan tempat berniaga, tak ada orang yang nak kacau, sekarang peluang banyak tapi nak fight harga, peniaga baru ni susah sikit,” katanya.

Apa pun semua itu adalah warna-warni yang melatari pulau Mahsuri ini. Biar apa pun yang dikatakan keputusan muktamad hanya akan diketahu selepas jam 5 petang 9 Mei ini.

Bagaimana masa depan 'Mahsuri' nanti? Kita tunggu pengundi di Langkawi menjawabnya.


ANNE MUHAMMAD ialah wartawan Malaysiakini yang sedang membuat liputan PRU ke-14 di Langkawi.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS