Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Belanjawan negara bebankan orang ramai'
Diterbitkan:  May 5, 2018 9:50 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

SOAL JAWAB | Di sebalik penegasan angka bahawa keadaan ekonomi negara kukuh, realiti yang dialami rakyat membayangkan keadaan sebaliknya.

Untuk siri kelima dan terakhir ini pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram membincangkan keadaan semasa ekonomi serta menyentuh mengenai belanjawan negara.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pembangunan ekonomi dan sosial berkata kali terakhir kerajaan menyediakan belanjawan berimbang ialah pada 1990-an.

Jomo turut menyentuh mengenai skandal 1MDB yang memberi kesan kepada ramai orang.

Kenapa orang ramai kurang menikmati pertumbuhan ekonomi yang dikatakan pesat?
Sejak hujung 2013, ‘sentimen pengguna’ di Malaysia merosot ke paras yang teruk sekali di Asia Tenggara berdasarkan kajian badan penyelidik antarabangsa Nielsen. Harga makanan yang paling banyak meningkat. Harga pengangkutan - termasuk minyak petrol, kereta api, bas dan tol - juga banyak naik.

Kenaikan gaji pula kurang atau perlahan walaupun dasar gaji minimum diperkenalkan, sedangkan inflasi meningkat lebih laju.

Di samping itu, kadar pengangguran rasmi - walaupun masih rendah - telah naik dengan kesan besar terhadap golongan muda. Pembuangan pekerja paling tinggi sekali dalam sektor perkhidmatan, yang menjadi harapan sumber pekerjaan masa depan menurut kerajaan. Malah, peluang pekerjaan lebih banyak berkembang dalam perkhidmatan ‘tradisional’, bukan ‘moden’.

Bagaimana pula belanjawan dewasa ini berat sebelah, membebankan orang biasa?
Hasil cukai telah naik daripada RM39.1 bilion pada 2013 kepada RM71.6 bilion pada 2017 akibat pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.

Kutipan GST pada tahun 2017 sebanyak RM41.5 bilion. Maka, misalnya, oleh kerana GST tidak dikenakan terhadap ECRL, RM3.6 bilion tidak akan dikutip daripadanya!

Subsidi serta bantuan sosial pula telah jatuh daripada RM43.3 bilion pada 2013 kepada RM23.1 bilion pada 2017 kerana subsidi gula, beras, tepung dan minyak masak dipotong, sedangkan bayaran BR1M tetap rendah.

Cukai pendapatan telah naik sedikit daripada RM23.1 bilion pada 2013 kepada RM30.1 bilion pada 2017 kerana banyak pengecualian diberi kepada orang kaya serta syarikat kroni.

Tetapi apakah hasil cukai tambahan perlu untuk mengelakkan krisis belanjawan?
Pertama, banyak perbelanjaan lain yang bukan-bukan boleh ditarik balik. Apakah semua perbelanjaan kerajaan sekarang perlu? Seperti projek ECRL RM60 bilion yang pasti tidak akan pulang modal dan bertujuan membiayai hutang 1MDB serta PRU14.

Dan kedua, kalaulah lebih banyak hasil cukai diperlukan, siapa yang patut menanggung beban utamanya? Sekarang, orang kaya serta syarikat besar dikecualikan cukai.

Cukai yang lebih adil dan saksama, misalnya cukai terhadap beberapa jenis harta kekayaan, boleh dikenakan.

Belanjawan semakin tak adil, terutama sekali bagi orang ramai kerana orang kaya serta syarikat mereka - termasuk pelabur asing seperti ECRL - dikecualikan daripada cukai.

Apakah soal 1MDB ada implikasi terhadap belanjawan?
Penipuan 1MDB melibatkan jumlah besar, sekurang-kurangnya RM54 bilion. Ia kes penipuan dengan jumlah paling dahsyat di dunia.

Timbalan perdana menteri serta beberapa pegawai tinggi, seperti gabenor Bank Negara, peguam negara dan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malauysia (SPRM) yang menyiasatnya, semua diganti.

Kerugian akibat 1MDB naik lagi dengan pendekatan kerajaan sekarang. Sekurang-kurangnya sembilan negara lain telah menyiasat dan mengambil tindakan, malah ada yang telah dihukum.

Anak tiri perdana menteri serta beberapa orang lain yang mendapat ‘hadiah’ daripada wang 1MDB telah ‘memulangkan’ harta itu kepada Jabatah Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Menurut undang-undang AS, mereka berhak menyimpan 25 peratus daripada nilai keseluruhan aset yang dirampasnya. Apakah kerajaan AS dapat menyimpan semua harta yang dirampasnya kerana kerajaan kita terus menafikan jenayah telah berlaku dan Jho Low terlibat?

Berapa pula yang dibazirkan dalam usaha menutup bangkai gajah ini? Misalnya dengan menjual harta kerajaan dengan harga murah untuk menyelesaikan hutang 1MDB.

Mengapa pula angka inflasi rasmi kurang dipercayai?
Secara ringkas, gaji tak naik kerana terdapat ramai pekerja asing; malah, upah mereka telah naik lebih pesat berbanding upah pekerja Malaysia.

Di samping itu, GST dan kemerosotan nilai mata wang ringgit di peringkat antarabangsa akibat skandal 1MDB telah meningkatkan ongkos hidup.

Harga import barangan banyak meningkat, sebanyak lebih kurang 20 peratus. Ini kerana nilai ringgit telah jatuh daripada RM3.2 berbanding AS$1 kepada RM3.9/AS1 setelah mencapai RM4.3/AS$1 pada tahun sudah.

Oleh demikian, orang ramai tidak percaya Indeks Harga Pengguna rasmi kerana dianggap tidak mencerminkan kenaikan kos hidup akibat pelaksanaan GST dan pembatalan subsidi harga terhadap barang keperluan.

Apa pula kaitannya dengan hutang negara?
Rizab Malaysia telah jatuh daripada AS$116 bilion pada 2008 kepada AS$102 bilion pada 2017. Tetapi ada yang mengaku bahawa rizab negara meningkat kerana nilai mata wang ringgit merosot.

Kerajaan sudah lama berjanji akan mengimbangi belanjawan, tetapi ia sentiasa ditangguh-tangguhkan. Kali terakhir kerajaan mengimbangi belanjawan ialah pada awal dan pertengahan tahun 1990-an.

Hutang negara telah naik daripada RM306 bilion pada 2008 kepada RM685 bilion pada 2017! Hutang yang dijamin kerajaan pula telah berlipat ganda daripada RM69 bilion pada 2008 kepada RM227 bilion pada 2017!

Hutang negara - termasuk yang dijamin kerajaan - telah melambung tinggi. Sebahagian daripada pasaran luar negara dengan kadar bunga pasaran yang sedang meningkat semula dewasa ini.

Bagaimana pula dengan hutang peribadi atau isi rumah?
Kita sama-sama membayar hutang negara melalui cukai dan hasil lain kerajaan. Hutang isi rumah pula soal lain, ia ditanggung mereka yang meminjam.

Rakyat Malaysia menanggung hutang isi rumah paling tinggi di dunia, iaitu sekitar 84 peratus daripada pendapatan tahunan, tidak termasuk hutang ‘tak rasmi’ orang susah, kepada ‘ah long’ dan sebagainya.

Pendapatan orang biasa kurang meningkat dalam beberapa tahun lalu walaupun dasar gaji minimum dan BR1M naikkan pendapatan orang ramai apabila ia mula diperkenalkan.

Sebenarnya, kedua-duanya sudah lama dituntut parti pembangkang tetapi malangnya kedua usaha baik itu dijadikan umpan politik.

Lihat Komen
ADS