Langkah calon HARAPAN buat kejutan di Bukit Tengah
PRU14 | Gooi Hsiao Leung daripada PKR melangkah masuk ke gelanggang pilihan raya umum 2013 sebagai calon bukan pilihan.
Bagaimanapun, beliau berjaya mencapai kemenangan di Parlimen Alor Setar mengalahkan pemimpin kanan MCA Datuk Seri Chor Chee Heung pada tahun 2013 menyebabkan beliau mendapat gelaran 'giant slayer' (si kerdil yang menewaskan gergasi). Gooi menang dengan majoriti 1,873 undi.
Tetapi di Bukit Tengah, Pulau Pinang kali ini, mampukah 'si kerdil yang pernah menewaskan gergasi itu' mengulangi kejayaannya?
Adakah beliau akan menewaskan atau ditewaskan di Bukit Tengah, sebuah kerusi DUN dengan kawasan perindustrian, diapit antara Perai dan Nibong Tebal itu?
Dia mungkin merasa mendapat dorongan semangat daripada ribuan orang ramai yang hadir majlis ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Juru pada Rabu lalu, yang menampilkan ketua menteri sementara Lim Guan Eng dan bapanya pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Politik memang berdarah daging dalam Hsiao Leung. Beliau seorang peguam berasal daripada keluarga yang memang sudah terlibat dalam politik.
Bapanya, Gooi Hock Seng, bekas ahli parlimen Bukit Bendera (1982-1995), ADUN Air Itam (1986-1990) dan pengerusi DAP negeri, yang menyertai PKR pada tahun 2002.
Dalam setiap ceramah, Hsiao Leung memberitahu pengundi beliau, "saya bukan orang luar, saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, saya seorang anak tempatan dan kini saya kembali ke kampung halaman saya".
"Bagi isu tempatan, saya pasti akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di sini," kata bapa berusia 45 tahun itu.
"Ketika menjadi ahli parlimen Alor Setar, saya mengambil tahu isu-isu tempatan seperti kes monopoli BERNAS yang memberi kesan kepada petani padi serta isu-isu dalam negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun begitu, pemerhati berpendapat Gooi mungkin menghadapi pertempuran sengit dengan calon BN Dr Thor Teong Gee, 48, seorang doktor daripada parti Gerakan, yang dikenali sebagai "Mr Nice Guy".
Kedua-duanya calon baru di Bukit Tengah, tetapi Thor telah memainkan isu mengenai asrama pekerja asing yang dalam pembinaaan, yang katanya perlu dipindahkan ke tempat lain, kerana ia mempengaruhi 6,000 pengundi di Juru.
""Dia tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada isu-isu negara seperti kos sara hidup atau GST, dia juga mesti melihat isu-isu tempatan yang mempengaruhi orang-orang Bukit Tengah," kata Thor.
Hsiao Leung dalam maklum balasnya memberitahu akan menyelidik dan mengenal pasti isu yang dibangkitkan Thor itu.
Bukit Tengah merupakan kerusi campuran dengan 36 peratus pengundi Melayu, Cina 47 peratus dan India 17 peratus.
Pada 2013, Ong Chin Wen daripada PKR mengalahkan pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow dengan majoriti selesa 5,990 undi.

