Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Seorang pemimpin PAS hari ini secara sinis menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melawat kubur sendiri selepas dilihat "benar-benar insaf".

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata tindakan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu melawat kubur Allahyarham Datuk Fadzil Noor semalam dan cuba menziarahi pusara Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini akan membuat bekas perdana menteri itu benar-benar bertaubat serta insaf.

"Ziarahlah Tun, sambil-sambil tu buatlah muka sedih. Pasti makin ramai yang akan panggil Tun dengan gelaran ayahanda dan bonda.

"Ziarah laa.. Tun akan dilihat benar-benar bertaubat dan insaf. Dan lebih insaf lagi kalau Tun ziarah kubur sendiri yang sedang menanti," katanya melalui kenyataan terbuka di Facebook.

Mokhtar yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang membuat kenyataan itu selepas Dr Mahathir cuba menziarahi kubur Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka, Kota Bharu pagi tadi.

Bagaimanapun lawatan itu dibatalkan selepas seorang anak bekas menteri besar Kelantan terbabit, Nik Adli, mengunci pintu masuk ke tanah perkuburan berkenaan.

Batu nisan katak

Semalam Dr Mahathir menziarahi pusara Fadzil yang terletak di Pokok Sena, Kedah. Fadzil ialah bekas presiden PAS dan seorang daripada anaknya, Faiz, menjadi calon HARAPAN di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Nik Omar Nik Abdul Aziz pula menjadi calon HARAPAN di kawasan dewan undangan negeri Chempaka di Kelantan.

Kata Mokhtar dengan tindakan Dr Mahathir melawat kubur dua bekas pemimpin tertinggi PAS itu tidak mustahil juga beliau akan berangkat ke AS untuk menziarahi kubur seorang lagi bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Mokhtar yang menjadi calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar di Perlis berkata, apabila Dr Mahathir meninggal dunia nanti beliau sendiri akan melarang keras mana-mana orang yang ingin meletakkan batu nisan berupa seekor katak di atas pusara pengerusi HARAPAN berkenaan.

Sementara itu di Kota Bharu Dr Mahathir berkata rancangannya melawat kubur Nik Abdul Aziz tidak ada kaitan dengan politik atau pilihan raya umum (PRU).

“Saya tak nak politikkan lawatan ke makam (kubur).

"Semalam saya melawat makam Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebab dia kawan saya dulu.

"Sebelum (dia) masuk PAS, dia banyak bagi nasihat agama pada saya.

“Lepas PRU ke-14 kalau saya sampai ke Kelantan, insya-Allah saya akan melawat (kubur Allahyarham),” katanya kepada media di Ketereh, Kota Bharu, hari ini.


Baca 'Pengetahuan Fadzil Noor luar biasa'


Beliau turut dijadualkan menyertai program lain bersama Nik Omar dalam kempen HARAPAN di Kelantan.

Mengulas mengenai perkembangan di Pulau Melaka itu, Nik Omar berkata, ia tidak akan diperbesarkan. Sebaliknya kata anak kedua Nik Abdul Aziz itu, dia meminta semua pihak meraikan sensitiviti keluarganya.

"Tak apa, tak ada masalah, saya rasa Tun pun tak ada masalah. Kita raikan Nik Adli khususnya," kata Nik Omar.

Lihat Komen
ADS