Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Penyandang DUN Tambunan dan timbalan ketua menteri sementara Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hanya tersenyum ketika mengakui beliau memang merancang untuk bersara dari politik.

Tetapi kini beliau sekali lagi bertanding - untuk kali ke-11 - mempertahankan kerusinya yang dipegang sejak 1976.

Kali ini, Pairin yang juga 'huguan siou' (pemimpin agung) masyarkat Kadazandusun Murut berdepan adiknya sendiri, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan, adik ipar Justin Alip (Parti Warisan Sabah) dan Nestor Joannes (Parti Cinta Sabah).

"Pada mulanya memang saya mahu bersara tetapi saya perlu membuat keputusan kerana masih diperlukan," kata Pairin kepada Malaysiakini.

"Saya masih di barisan depan, masih huguan siou. Saya tidak boleh menolak tanggungjawab dengan mudah, saya tak mahu mengabaikan rakyat begitu saja."

Diberi peluang untuk sekali lagi bertanding di Tambundan, pengasas dan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berjanji untuk berkerja sebaik mungkin kepada rakyat dan Sabah.

"Saya tidak fikir usia sebagai penghalang. Semakin ramai yang menyokong saya, semakin saya bertenaga untuk mewakili mereka. Sementara masih diberi mandat, saya akan berkerja keras untuk rakyat.

"Saya harap kali ini saya diberi mandat yang lebih besar agar mempunyai suara yang lebih kuat untuk kebaikan rakyat," kata Pairin.

Beliau sebelum ini pernah beberapa kali menyuarakan hasrat untuk bersara tetapi diminta pimpinan BN untuk terus bertanding.

Sementara beliau yakin masih mampu mewakili Tambunan dengan baik, adiknya Jeffrey berpandangan sebaliknya.

Menyebut pengakuan Pairin untuk bersara, beliau mengatakan sudah tiba masa untuk abangnya berehat.

"Saya tahu dia sudah banyak menyumbang untuk satu tempoj yang panjang. Saya fikir sudah tiba masanya berehat.

"Tahap semangat dan kesungguhannya sudah tidak seperti dulu kerana dalam fikirannya adalah mahu bersara," kata Jeffrey.

Ini sebabnya mengapa Jeffrey merasakan beliau patut bertanding di DUN Tambunan. "Saya masih mempunyai semangat, kesungguhan dan tenaga untuk melakukannya."

Hubungan kekal baik

Beberapa hari menjelang 9 Mei, Jeffrey yakin peluangnya lebih cerah kali ini.

"Saya sangat yakin," katanya.

Walaupun berdepan dengan abang buat kesekian kalinya, Jeffrey berkata mereka masih mampu berjenaka apabila bertemu.

"Secara bergurau dia menyiku saya ketika hari penamaan calon.

"Saya hormatnya sebagai abang saya. Walaupun dia mengambil keputusan untuk bertanding lagi, saya tetap menghormatinya."

Pada PRU lalu, Jeffrey bertembung dengan Pairin bagi kerusi Parlimen Keningau. Pairin menang dengan majoriti 3,918 undi.

Pairing bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU kali ini.

Walaupun tewas di situ, Jeffrey menang tipis di kerusi DUN Bingkor.

Kali ini Jeffrey sekali lagi mencuba nasib di Parlimen Keningau, berdepan dengan naib presiden PBS yang juga iparnya Datuk Daniel Kinsik dan lima lagi calon lain.

Sementara itu Pairin mengaku satu ketika dulu tersinggung dengan keputusan politik Jeffrey, tetapi beliau berkata telah belajar untuk menanganinya agar "tidak merasa apa-apa lagi".

"Dia adalah seteru politik maka saya menanggapinya sebagai seorang pembangkang.

"Sebagai abang, adakala ketika kami bercakap tentangnya, saya rasa tersinggung...Tetapi saya sudah sampai ke satu tahap di mana saya perlu berdepan secara tenang, rasional dan wajar."

Beliau mengakui pernah cuba memujuk Jeffrey agar berada di pihak yang sama dengannya tetapi akhirnya menerima adiknya itu mempunyai matlamat sendiri.

"Saya tidak lagi memberi nasihat kepadanya; dia suka dengar kata-kata orang lain."

Bukan khianat

Lain pula keadaannya dengan adik ipar mereka Justin.

Pairin berkata beliau rasa dikhianati kerana tidak menyangka Justin akan bertanding melawannya. Justin yang sebelum ini menganggotai PBS menyertai WARISAN pada Mac 2017.

"Apabila kamu keluar (parti) dan melawan (saya), itu pengkhianatan.

"Dia adik ipar saya, saya banyak membantunya dan (dia) tidak mengenang budi saya (terhadapnya). Dia juga setiausaha politik saya."

Pairin tidak menafikan beliau masih marah dengan Justin.

"Di pusat penamaan calon, dia datang dan cuba bersalam. Saya memandang ke arahnya dan berkata tidak perlu untuk bersalam."

Justin pula tidak merasakan keputusannya itu bermaksud beliau mengkhianati Pairin, apatah lagi Pairin sendiri berhasrat untuk bersara.

"Tujuan saya bertanding dalam PRU kali ini kerana yakin WARISAN mampu berkhidmat dengan lebih baik, dan saya sudah pun beritahu masyarakat di sini yang saya akan bertanding sejak tahun lalu.

"Pairin pula tidak berkata apa-apa tentang sama ada dia akan bertanding semula sehinggalah hari-hari terakhir sebelum penamaan calon. Jadi tidak timbul soal saya mengkhianatinya."

Sementara Pairin menganggap Justin tidak mengenang budi, beliau berkata dirinya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan Pairin menang pada setiap PRU sejak 1984.

Ekoran jadual Pairin yang sibuk, Justin berkata Pairin selaku wakil rakyat tidak turun padang ke Tambunan.

"Saya fikir telah memenuhi tanggungjawab sebaik mungkin."

Ketika ditanya adakah beliau akan meminta maaf kepada Pairin, Justi berkata abang iparnya itu bukanlah seorang yang akan menerima permohonan maaf dengan mudah.

"Dia kata saya bukan lagi kawannya, tetapi saya telah kata apa saja yang terjadi dia tetap abang ipar, kawan, dan huguan siou.

"Saya tidak akan merampas kedudukan huguan siou, jadi masih ada rasa hormat di sini," katanya lagi.

Infrastruktur masih kurang

Mengakui Pairin banyak berjasa terhadap penduduk Tambunan, Justin berkata Pairin tidak lagi bersungguh-sungguh berkhidmat pada penggal lalu.

"Ini kerana dia fikir akan bersara," kata Justin.

Namun Pairin percaya beliau telah melakukan apa yang terdaya untuk mereka. "Jika diberi lebih masa, saya sanggup terus menyumbang lebih banyak. Semuanya tentang masa, ada perkara dapat dilakukan dengan cepat, ada yang memerlukan masa."

Jika kekal menang, Pairin berkata beliau merancang untuk terus meningkatkan infrastruktur di Tambunan antaranya membangunkan industri pelancongan dan perumahan.

Ada pengkritik mendakwa walaupun menjadi kawasan timbalan ketua menteri, Tambunan tidak mendapat pembangunan yang sepatutnya.

Pairin membalasnya dengan mempersoalkan sama ada pihak tersebut ada memberikan sumbangan.

"Ketika saya mula (jadi wakil rakyat), tak ada jalan, elektrik dan bekalan air di sini...Sekarang anda lihat banyak kereta di jalan raya. Dulu tiada kereta. Sekarang anda lihat rumah dengan bekalan elektrik dan air."

Penghargaan penduduk

Pairin berkata beliau masih dihargai penduduk Tambunan, maka yakin berpeluang besar untuk mempertahankan kerusi itu.

"Rakyat mula yakin yang kita melakukan perkara yang betul dan semakin faham tentang apa yang berlaku.

"Mereka mula memberi maklum balas dan tentunya mereka cenderung mengikut pimpinan, apabila mereka melihat pemimpin-pemimpin bersama, ia akan memandu mereka tentang betapa penting untuk berkerjasama dan terus menyokong kerajaan yang selama ini berkhidmat kepada mereka.

"Bukan hanya mendengar retorik atau mereka yang hanya turun padang kerana pilihan raya," katanya.

John Tadong, 64, adalah seorang penyokong setia Pairin dan berharap huguan siou terus menang.

"Kami tak mahu orang lain menggantikannya. Kami sayang padanya. Kami akan memastikan dia menang sekali lagi," katanya yang merupakan seorang petani.

Walaupun sekian lama menjadi wakil rakyat Tambunan, sokongan terhadap Pairin kian merosot. Ada yang menganggap beliau masih mendapat sokongan generasi lama tetapi kurang disokong golongan muda.

Pada 9 Mei ini, huguan siou akan melihat sama ada beliau masih diperlukan di Tambunan atau sebaliknya.

Lihat Komen
ADS