Paling Popular
Terkini

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin membidas bekas anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Anina Saadudin yang mendesak beliau bersama dua lagi veteran Umno supaya mengisytiharkan aset mereka.

Bercakap kepada wartawan selepas berkempen untuk calon-calon HARAPAN - Khalid Samad (Shah Alam), Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Rodziah Ismail (Batu Tiga) - di Shah Alam, Daim mempersoalkan kelayakan Anina untuk berbuat demikian.

“Siapa wanita ini? Siapa dia mahu cabar saya. Dia tahu sejarah atau tidak?

“Tengok dulu dia puji Tun M (Dr Mahathir Mohamad) bukan main lagi... Sekarang jangan cuba (cabar).

“Hati rakyat Langkawi telah dicuri oleh Tun M. Bagitahu dia... pasal apa? Dulu dia sokong Tun M, sekarang pilih sokong Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak). Dulu dia yang kencing Najib, sekarang Najib kencing dia,” katanya sinis.

Semalam pada sidang medianya yang disiar secara langsung di laman Facebook, Anina menamakan Tan Sri Rafizah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Daim sebagai 'kartel lama Mahathir' yang mengumpul kekayaan selama 22 tahun bekas perdana menteri itu berkuasa.

Menurutnya penglibatan 'kartel lama' Mahathir itu dalam kempen HARAPAN di Langkawi menimbulkan 'rasa sangsi' orang Langkawi.

Anina, yang juga bekas anggota Umno Langkawi turut meminta Daim menjelaskan bagaimana beliau memiliki dana yang begitu besar untuk membeli kumpulan bank ICB Financial Group pada 1994 yang memiliki bank di 13 buah negara di tiga benua.

Secara kebetulan katanya, pembelian itu berlaku ketika bank Negara Malaysia (BNM) kehilangan RM30 billion 'secara misteri'.

"Adakah kehilangan RM30 billion rezab BNM ada kaitan dengan kekayaan sepantas kilat Tun Daim kerana Tun Daim juga adalah Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas transaksi-transaksi misteri yang menyebabkan BNM kehilangan dana yang begitu besar, sebelum beliau meletakkan jawatan pada 2014.

Anina, yang kini mengetuai NGO Empirical Malaysia, meninggalkan BERSATU pada September lalu setelah mendakwa parti itu dipimpin oleh mereka yang tidak dapat menerima kritikan.

Lihat Komen
ADS