Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Pakatan Harapan (HARAPAN) agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan tragedi berdarah Memali sekiranya berjaya membentuk kerajaan pusat setelah pilihan raya umum akan datang.

Pengarah komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata ini kerana partinya percaya bahawa pasukan polis pada ketika itu telah dibekalkan dengan maklumat yang tidak tepat oleh pihak-pihak tertentu.

"Kita nak tahu apa maklumat diberikan kepada polis sehingga mereka bertindak seperti hendak menyerang kubu komunis.

"Secara peribadi saya juga percaya serangan pada hari itu bukanlah diatur oleh orang politik.

"Cerita sebenar harus diketahui," kata Khalid dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

"AMANAH menggesa supaya satu RCI ditubuhkan, bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, tetapi bagi mendapatkan pengakhiran yang jelas," tegasnya.

Walaupun tidak menolak kemungkinan pihak polis pada waktu itu telah menerima arahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ataupun timbalannya, Tan Sri Musa Hitam, Khalid turut berkata tindakan hanya akan diambil berdasarkan maklumat yang berjaya dikumpulkan.

"Mungkin Mahathir kata 'pergi tangkap Ibrahim Mahmud' atau kita kenali sebagai Ibrahim Libya. Tapi polis ambil tindakan berasaskan intelligence (risikan).

"Kenapa polis hantar sampai beratus anggota keselamatan lengkap bersenjata api untuk tangkap satu orang?," soal Khalid.

"Mungkin mereka diberi gambaran itu satu kubu komunis...Sebab (tindakan) itu tidak masuk akal," kata Khalid merujuk kepada insiden yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh lagi cedera, manakala ratusan yang lain ditahan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata satu siasatan bebas perlu dibuat demi mendapatkan keadilan bagi semua pihak terkait.

Tragedi Memali berlaku pada 19 November 1985 membabitkan tindakan polis cuba menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di kawasan rumahnya di Baling.

'AMANAH terima maaf Dr Mahathir'

Pada masa yang sama, Khalid berkata AMANAH menerima permohonan maaf dari Mahathir sebagai pengerusi HARAPAN yang dianggap telah "terlepas cakap" apabila menggunakan istilah "mati katak" untuk merujuk kepada mangsa Memali.

Setelah lebih 32 tahun, tragedi Memali sekali lagi mendapat perhatian setelah Mahathir dalam satu ceramah HARAPAN di Lembah Pantai pada Khamis lalu berkata 14 mangsa yang terkorban telah mati katak dan bukan mati syahid seperti dianggap PAS.

Permohonan maaf terbuka itu dibuat selepas anak penduduk kampung yang terkorban Mohamad Zuhdi Mat Piah meluahkan perasaan tidak puas hati secara keras terhadap Mahathir di Facebook.


 

Lihat Komen
ADS