Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mampukah rasa tidak puas hati Melayu cetus tsunami (bhgn 1)

Rasa tidak puas mula didengari di kawasan Melayu di seluruh negeri-negeri pantai barat di Semenanjung Malaysia, yang secara tradisinya adalah kubu BN, ketika kempen pilihan raya umum ke-14 melabuhkan tirai tepat jam 12 tengah malam ini.

Sekiranya rasa tidak puas hati pengundi diterjemahkan di kotak undi, gelombang undi protes terhadap BN akan bermula dari selatan, di Johor tetapi dengan intensiti yang berkurangan menuju ke arah utara.

Isu utama adalah berhubung kos sara hidup dan bagi anggota Umno pula peluang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap parti sendiri - iaitu presiden Datuk Seri Najib Razak yang jelas tidak popular.

Walaupun 1MDB jarang dimain oleh pengundi tetapi ia mempunyai kesan tidak langsung terhadap reputasi Najib.

Kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Pakatan Harapan juga merancakkan pilihan raya kali ini dengan berperanan menyatukan gabungan parti pembangkang selepas perpecahan Pakatan Rakyat dengan PAS, untuk menjadi alternatif kepada BN.

Walau bagaimanapun, gelombang pemberontakan terhadap BN tidak semesti menjamin bahawa HARAPAN akan berkuasa.

Di negeri-negeri di mana PAS mempunyai pengaruh besar dan sokongan atau kepimpinan negeri HARAPAN adalah lemah, rebutan undi BN berpecah antara dua blok pembangkang itu hingga tahap yang berbeza-beza.

Tindakan PAS bertanding di sebahagian besar kerusi di seluruh negara dikatakan mungkin mampu menyelamatkan Najib dan BN daripada mengalami kekalahan buruk.

BN kemungkinan tumbang

Di Johor, terutamanya sekitar kawasan-kawasan berhampiran Johor Bahru di mana BN memegang empat daripada enam kerusi Parlimen di sana, terdapat pengundi di kubu BN yang memgakui bahawa mereka berhasrat untuk beralih ke HARAPAN, manakala ramai pula yang belum membuat keputusan muktamad.

Seorang pekerja hotel berusia 23 tahun di Pulai berkata, bapanya sebelum ini mendaftarkannya sebagai ahli Umno tetapi kini enggan mengundi BN.

"Saya minta ayah dan kawan-kawannya mengundi BN tetapi kebanyakan mereka enggan, ada pula kawan saya yang menumpah Najib, kebanyakan mereka tidak tahan dengan kos sara hidup yang tinggi, saya bingung dan tidak tahu mahu mengundi siapa?" katanya kepada Malaysiakini.

Di kawasan pedalaman di Johor pula, jurang perbezaan generasi adalah lebih jelas di kubu kuat BN di mana warga tua kekal teguh bersama BN tetapi sokongan anak-anak mereka masih tidak menentu.

Pemberontakan Melayu secara umum boleh memberi kesan besar terhadap BN di Johor, di mana 11 dari 21 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu adalah kurang daripada majoriti 6,000 undi. Hanya pantai timur Johor kekal sebagai kubu BN yang tidak dapat ditembusi.

Sukar buat kejutan

Di Melaka, pengundi di kubu kuat BN di luar bandar kurang bersedia untuk menyatakan secara terbuka pilihan mereka, tetapi kekecewaan mereka jelas kelihatan. Perbezaan generasi yang sama juga jelas kelihatan.

Antara contohnya, adalah Mohd Khairul Tajuddin, 44 tahun, yang selepas permohonan bantuan kebajikannya ditolak, sedang bergelut untuk menjaga ibu mertuanya yang telah mengundi BN sepanjang hidup dan akan terus berbuat demikian.

Tetapi apabila ditanya mengenai pendiriannya sendiri pada pilihan raya umum akan datang, dia tidak mahu berterus terang. Sebaliknya, dia meluahkan lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya masih ingat ketika saya mula bekerja, gaji hanya RM1,600 sebulan, saya mampu hidup. Tetapi sekarang, saya perolehi RM3,000 sebulan tetapi masih bergelut," katanya.

Ini adalah di daerah pengundian Melaka Pindah, di mana BN memenangi 69.7 peratus daripada 1,7366 undi di peringkat parlimen pada pilihan raya umum lalu.

Di kawasan separa bandar seperti Taman Tun Rahah, pemberontakan penyokong BN lebih ketara.

"Kami tidak boleh berikan (undi) kepada mereka (BN) lagi. Kami tidak mahu membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lagi. Cukuplah," kata seorang bekas kakitangan bank berusia 60 tahun, Anwar Md Nor, yang telah mengundi BN sepanjang hidupnya.

BN memenangi empat kerusi parlimen di Melaka denga nmajoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya umum lalu dan ini hanya boleh dibatalkan dengan gelombang undi protes yang besar.

Walau bagaimanapun, HARAPAN mungklin berpeluang merampas beberapa kerusi DUN.

Faktor Rais membantu

Di Negeri Sembilan, di mana bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Mohd Samad mempamerkan prestasi buruk semasa menerajui Felda, banyak sokongan belia BN kini terhakis, termasuk di kawasan penempatan Felda.

Beberapa belia yang di Felda Pasoh 1 berkata mereka mengundi BN pada pilihan raya umum lalu, tetapi akan mengundi HARAPAN pada kali ini. Seramai 79.3 peratus daripada 1,638 pengundi di pusat daerah mengundi ini menyokong BN pada pilihan raya umum yang lalu.

"Dulu masa saya undi BN, tidak ada GST... Sekarang kita semua terkesan dari GST, harga petrol naik, harga barang naik, dan sukar mendapatkan pinjaman," kata pemandu lori berusia 38 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman.

Aiman sedang dalam perjalanan ke ceramah untuk melihat bekas menteri Umno, Tan Sri Rais Yatim berucap untuk HARAPAN bersama tujuh rakan lain, yang kebanyakan mereka mahu beralih dari BN ke HARAPAN.

Gabungan pembangkang itu tidak mempunyai ramai pemimpin Melayu terkemuka di Negeri Sembilan dan juga dibelenggui dengan perbalahan dalaman tetapi kempen minit terakhir Rais  membantu meningkatkan moral mereka.

BN memenangi lima kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dengan selesa pada pilihan raya umum lalu tetapi tiga daripadanya di bawah majoriti 10,000 undi. Paling lemah adalah kerusi Jelebu yang dimenangi dengan majoriti 7,101 undi.

Walau bagaimanapun, di peringkat negeri, HARAPAN hanya perlu merampas lima lagi kerusi DUN daripada 36 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Baca: Mampukah rasa tidak puas hati Melayu cetus tsunami (bhgn 2)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS