Terjemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dimansuhkan dan ditamatkan 35 tahun pemberian keistimewaan kepada rakyat Malaysia keturunan Melayu.

"Kerana menggesa demikian, saya telah dituduh sebagai anti-Melayu," katanya.

"Tetapi orang Melayu yang layak (menerimanya) tidak akan dinafikan bantuan kerajaan. Malah, lebih banyak wang boleh disalurkan untuk bidang ini.

"Bagaimanapun, kaum India di estet, kaum Cina yang miskin dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak, juga sama-sama layak menerima bantuan tersebut," katanya.

Beliau membuat gesaan itu dalam perutusannya dalam sebuah buku bahasa Inggeris yang baru diterbitkan bertajuk Where to, Malaysia? tulisan mengulas politik Kim Quek.

Anwar berkata, beliau lebih cenderung kepada tindakan dan campurtangan kerajaan untuk menangani masalah sosial dan dalam merapatkan jurang ekonomi.

Bagaimanapun, tegasnya, langkah seumpama itu tidak boleh dibuat berdasarkan kepada garis perkauman, tetapi mesti mensasarkan golongan miskin tanpa mengira keturunannya.

Menurutnya, dasar tersebut perlu "dibedah" berikutan berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan DEB termasuk 'rasuah, kronisme dan nepotisme'.

"Amalan dalam DEB hari ini ialah memberi kontrak kerajaan, biasanya pada harga yang tinggi, kepada para kroni. (Oleh itu) DEB menjadi cara mengkayakan diri sendiri dan kroni yang sudahpun kaya," katanya.

Kritikan terhadap DEB

Menurut Anwar, kritik terhadap dasar itu bukanlah sesuatu yang baru.

"Sejak tahun 1980-an, sekumpulan ahli ekonomi UKM (University Kebangsaan Malaysia) semuanya bumiputera telah mengkaji secara terperinci amalan dan kesannya. Dan kesimpulan mereka tidaklah begitu menyenangkan bagi kerajaan.

"Tidak boleh dibayangkan sama ada kritikan tajam seumpama itu terhadap dasar utama kerajaan oleh para bijak pandai, masih boleh dilakukan lagi pada hari ini," katanya merujuk kepada suasana kampus sekarang.

Kritikannya terhadap NEP bercanggah dengan gesaan parti tunggak kerajaan, Umno yang pernah dianggotainya, yang mahukan dasar tersebut diteruskan sewaktu perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Anwar yang pernah dianggap sebagai bakal pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad, dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998, dan kemudiannya didakwa di mahkaman dan disabitkan atas kesalahan salahguna kuasa dan liwat.

Bagaimanapun, selepas membuat rayuan, Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman liwat yang dijatuhkan ke atas Anwar.

Dari mula lagi, Anwar mendakwa semua tuduhan terhadapnya sengaja direka kerana wujud konspirasi politik untuk menjatuhkannya. Dr Mahathir bagaimanapun menafikannya.

Analisis kritis

Buku setebal381 muka surat itu merupakan koleksi tulisan Quek sejak enam tahun lalu mengenai pelbagai isu politik dan ekonomi di Malaysia.

Ia juga mengandungi analisa yang kritis mengenai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Quek, seorang pesara akauntan dari Johor Bahru,'kad kemajuan' pencapaian Abdullah sejak dua tahun dia menggantikan Dr Mahthir adalah "hampir kosong".

Katanya, tida undang-undang menindas, yang dimansuh atau dipinda, kebebasan akhbar tidak wujud, rasuah semakin teruk, tender kerajaan tidak diberi secara adil dan terbuka, kadar jenayah masih tinggi, gejala sosial berterusan, integriti bidang kehakiman masih di paras rendah manakala hakim-hakim dalam kes Anwar cepat naik pangkat, berbanding dengan mereka yang lebih layak.

Quek juga mengingatkan mengenai kemungkinan kembalinya Mahathirisme, terutama melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dianggap sebagai 'pewaris' pemerintahan Dr Mahathir.

Tidak dapat diragui lagi, katanya, bahawa Dr Mahathir telah kembali mendapat tempat dalam kehidupan awam dan hampir keseluruhan hirarki dalam Umno, ada kaitan dengan pengaruh Mahathir.

Buku Where to, Malaysia? tulisan Quek itu akan mula dijual di kedai di seluruh negara tidak lama lagi./ Berita asal