Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beberapa penganalisis melihat siasatan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bakal memacu lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.

Mereka berpendapat imej kerajaan lebih telus, stabil dan berintegriti akan membantu ekonomi negara.

“Pandangan yang dapat saya berikan ialah ini dapat memberikan lebih keyakinan kepada pelabur-pelabur asing.

“Usaha-usaha yang diambil Malaysia ini ialah mendapatkan semula aset negara yang diambil melalui penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah sebelum ini.

“Pelabur-pelabur yakin kerajaan yang ada sekarang adalah lebih telus, adil, stabil, berintegriti dan mendapat sokongan rakyat.

“Ini penting untuk persekitaran perniagaan yang sihat,” kata Pakar ekonomi Dr Zarinah Yusof (bawah) kepada Malaysiakini.


Sejak bertukarnya pemerintahan minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan dakwaan penyelewengan beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Selepas kenyataan itu, lebih 15 kenderaan dan trak polis turut dilihat memasuki perkarangan rumah Najib di Taman Duta bagi merampas dokumen dan barangan peribadi yang berkaitan siasatan itu dan penggeledahan itu mengambil masa kira-kira 18 jam.

Sementara itu, Zarinah berkata ringgit juga telah mula menunjukkan peningkatan nilainya.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur-pelabur ke atas ekonomi Malaysia.

Jangkaan kekal pertumbuhan

“Pasaran saham juga sangat aktif dengan aktiviti penjualan saham-saham mengatasi belian.

“Bagi petunjuk-petunjuk ekonomi yang lain akan ambil lebih masa untuk lihat kesan positifnya,” katanya pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) itu.

Semalam Bank Negara berkata ekonomi negara meningkat 5.4 peratus pada suku pertama 2018, disokong oleh pengembangan aktiviti sektor swasta yang berterusan serta sokongan mantap daripada eksport bersih.

Pada masa hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan pada 2018, dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama.

Inflasi keseluruhan pula dijangka berada pada purata dua hingga peratus, disebabkan oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh berbanding 2017.

Ke arah negara tanpa rasuah

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan juga melihat ekonomi akan bertambah kukuh susulan siasatan terhadap Najib.

“Pelaburan tak ada masalah, akan berjalan macam biasa mungkin lebih positif kerana orang Malaysia sekarang dah berubah.

“Malaysia akan menjadi sebuah negara bebas rasuah, tiada rasisme dan orang anggap Malaysia berubah disebabkan oleh rakyat.

“Ini satu perkara positif, faktor ini akan beri lebih keyakinan (pelabur) di Malaysia,” katanya.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), itu turut melihat, tindakan itu juga kehendak rakyat terbanyak yang mengundi menjatuhkan BN minggu lepas.

“Itu kehendak rakyat, malah saya rasa rakyat alu-alukan langkah ini,” katanya.

Sukar dijangka, kata Azizuddin

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik Prof Dr Azizuddin Mohd Sani, peningkatan pelaburan asing masih sukar dijangka.

“Respon antarabangsa dari segi pelabur pula saya tak boleh nak ramal sebab pelabur dah jangka (siasatan) akan berlaku.

“1MDB ini bukan di Malaysia sahaja tapi satu dunia punya kes. Kalau ada pertuduhan di sana (luar negara), akan beri kesan di sini (Malaysia) juga,” kata Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagaimanapun, katanya, setakat ini respon memberangsangkan, terutamanya selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.

“Bila Anwar bebas, media antarabangsa sangat positif, lihat semua laporan alu-alukan Anwar kerjasama (dengan kerajaan baru).

“Bila laporan antarabangsa positif akan beri impak pada pelaburan, maksudnya pelabur bagi positif remark. Peluang untuk melabur di Malaysia agak tinggi,” katanya.

Lihat Komen
ADS