Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Najib dan rombongannya tiba pada pada pukul 9.45 pagi ini dengan kawalan ketat anggota polis.

Beliau dijangka akan disoal siasat berhubung pemindahan wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International - dahulunya subsidiari 1MDB - ke akaun peribadinya.

Pada 18 Mei lalu, SPRM berkunjung ke rumahnya di Taman Duta, Kuala Lumpur, bagi memberi notis memintanya hadir sebelum pukul 10 pagi hari ini untuk memberi keterangan bagi kes tersebut.

Antara Disember 2014 hingga Februari 2015, SRC International memindahkan RM42 juta ke beberapa perantara sebelum berakhir ke akaun peribadi milik Najib.

Bagaimanapun Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sebelum ini telah membersihkannya daripada sebarang salah laku, dan berkata tiada bukti menunjukkan berlakunya rasuah dan Najib tidak tahu wang tersebut daripada SRC International.

Sementara itu, sejumlah 40 penyokong Najib turut berkumpul di ibu pejabat SPRM. Mereka menunggu di pagar sejak 9.30 pagi.

Salah seorangnya adalah pemandu perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi, Zapa. Menurut pemuda berusia 31 tahun itu, beliau mahu melihat keadilan ditegakkan tetapi apa yang berlaku hanyalah seperti balas dendam Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.

"Ya, kami penyokong BN dan kami kalah (PRU), tetapi kami nak tengok keadilan ditegakkan. Jika Najib disiasat, siasatlah dengan adil.

"Tapi kami terkilan sebab apa yang berlaku sekarang seperti Mahathir balas dendam," katanya kepada Malaysiakini.

Anggota biro penerangan Umno, Datuk Lokman Adam, yang pada semalam menyeru penyokong Najib untuk berkumpul di ibu pejabat SPRM turut menyuarakan sentimen yang sama.

Beliau berharap Najib akan diberi perbicaraan yang adil tetapi mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengamalkan dakwaan terpilih.

Beliau memberikan kawalan ketat kepada Najib sebagai contoh, menyifatkannya seperti tahanan dalam rumah, walaupun belum didakwa di mahkamah.

Pada masa sama, katanya lagi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dibenarkan mengangkat sumpah semalam walaupun perbicaraan kes rasuahnya masih berjalan.

Lokman juga mempersoalkan langkah Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) meluluskan pendaftaran HARAPAN susulan kemenangan pada PRU ke-14, walaupun sebelum ini parti komponennya BERSATU dikatakan berdepan masalah.

"Mereka bercakap tentang kedaulatan undang-undang berkaitan isu melibatkan pemimpin BN, tetapi mengambil pendekatan berbeza apabila dalam isu melibatkan pemimpin mereka," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS