Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam minta negeri tarik balik sekatan perjalanan
Diterbitkan:  May 25, 2018 4:56 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan negeri menarik balik sekatan perjalanan kerana amalan tersebut adalah menindas (represif).

"Suhakam berpendirian bahawa sekatan terhadap warganegara Malaysia tidak seharusnya dilakukan oleh mana-mana negeri walaupun terdapat kuasa Perlembagaan yang membolehkan ianya dilakukan.

"Kerana tindakan sedemikian adalah saki-baki amalan represif yang terdahulu," kata pengerusinya Tan Sri Razali Ismail dalam suatu kenyataan hari ini.

Razali mengambil maklum penarikan balik sekatan perjalanan terhadap beberapa ahli politik Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah mereka dilantik menjadi menteri kabinet.

Bagaimanapun, beliau menggesa Sarawak untuk menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan terhadap individu lain termasuk salah seorang pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph.

"Walaubagaimanapun, terdapat ratusan warganegara Malaysia yang dilaporkan, termasuk Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph (gambar) yang masih lagi disekat daripada memasuki negeri Sarawak.

"Kebanyakan daripada individu-individu ini merupakan pengkritik kerajaan negeri yang sering membangkitkan isu-isu hak asasi manusia dalam konteks piawaian antarabangsa.

"Suhakam menyeru Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi menarik balik sekatan tersebut," kata beliau.

Semalam, pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Ken Leben berkata, kerajaan menarik balik sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan terhadap beberapa menteri kabinet yang dahulunya merupakan anggota pembangkang.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sebelum ini dihalang memasuki negeri itu.

Sarawak dan Sabah memiliki autonomi kuasa imigresen sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 

Lihat Komen
ADS