Malaysiakini BERITA

Rakyat kena buktikan kita bukan manusia pelupa

Rahman Imuda

Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Sudah hampir tiga minggu Malaysia menerima kerajaan baru dan harapan rakyat untuk Pakatan Harapan (HARAPAN)menggunung.

Selepas sahaja keputusan PRU14 dikeluarkan, masa seperti berlalu dengan cukup pantas.

Kerajaan baru melakukan beberapa pengumuman penting seperti menjadikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar, menamatkan kontrak pekerja lantikan politik - dan yang paling mendapat perhatian - melakukan siasatan ke atas beberapa individu yang dulunya seperti kebal daripada undang-undang.

Jumlah rampasan yang dilakukan di kediaman mantan perdana menteri dan pengerusi Tabung Haji memperkukuhkan tanggapan kita bahawa pihak pemerintah sebelum ini terlibat dalam skandal wang rakyat.

Namun saya fikir Malaysia “kepincangan” satu elemen penting setelah PRU14 tamat – pihak pembangkang.

Jika anda masih ingat, beberapa hari selepas keputusan PRU14 diumumkan, berlaku sedikit pertelagahan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Rafizi Ramli kerana masalah pembahagian jawatan menteri.

Kemudian tidak lama selepas itu Dr Mahathir mengumumkan dirinya sebagai menteri pendidikan.

Sengaja saya memetik dua peristiwa siginifikan ini supaya anda boleh membayangkan reaksi penyokong fanatik HARAPAN.

Tak boleh ditegur

Walaupun saya tidak nafikan salah satu elemen penting yang menyebabkan HARAPAN menang ialah kerana faktor “Mahahtir”, namun ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk terlalu memuja beliau.

Memuja yang dimaksudkan ialah dalam konteks bersetuju dengan semua keputusan yang beliau lakukan tanpa mempertimbangkan sudut-sudut munasabah lain.

Lihatlah bagaiman Rafizi begitu mudah dilupakan jasa-jasanya oleh sekelompok penyokong fanatik HARAPAN hanya kerana mempersoalkan keputusan Dr Mahathir.

Begitu juga ketika Dr Mahathir dikritik kerana mahu memegang jawatan menteri pendidikan sedangkan ia bercanggah dengan manifesto HARAPAN.

Maka bangkit kumpulan ini yang menyerang dengan agresif pengkritik Dr Mahathir.

Akhirnya Dr Mahathir mengakui manifesto itu dan memberikan jawatan berkenaan kepada orang lain.

Dr Mahathir mengiktiraf teguran adalah proses demokratik yang perlu diraikan, mengapa ada sesetengah penyokong melihat ia sebagai penghinaan?

Kita tidak boleh menjadi bangsa Malaysia yang lupa kenapa kerajaan sebelum ini terlalu sukar untuk ditegur dan akhirnya tersungkur.

Perubahan kerajaan seharusnya diikuti dengan perubahan mentaliti dan sikap rakyat terhadap parti yang memerintah.

Konsep “kerajaan tahu segalanya” harus dikikis daripada kepala setiap rakyat. Kita harus terlibat secara aktif dalam proses memeriksa kerajaan agar mereka tidak terlalu selesa dalam membuat keputusan.

Sifat selesalah yang telah menyebabkan kerajaan sebelum ini mengambil tindakan sesuka hati sehingga memberi bebanan kepada rakyat.

Kita harus mengakui, BN masih lagi belum “biasa” dengan peranan mereka sebagai pembangkang. Barangkali mereka sedang dalam proses “reformasi” untuk memastikan gabungan politik itu kekal relevan dan mampu menguggat kerajaan semasa.

Berusaha kekal relevan

Peristiwa di Perlis beberapa hari lepas tidak membantu proses penjenamaan semula Umno, bahkan ia memburukkan keadaan.

Umno yang terkenal dengan semangat Melayu tiba-tiba berlaku tidak sopan kepada raja yang merupakan payung Melayu.

Lebih malang lagi, beberapa individu penting dalam BN sedang berada dalam siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi yang tidak disasat pula, bagaimana sesetengah mereka boleh mewakili pembangkang dengan baik jika khuatir 'kain buruk' mereka akan diselak oleh pemerintah?

PAS pula pada pandangan saya sedang selesa dengan kemenangan dua negeri di Pantai Timur.

Setelah berpisah daripada Pakatan Rakyat, saya tidak melihat mereka sering mengkritik BN secara keras. Lebih malang, pernah ada laporan yang mengatakan wakil mereka berpuas hati dengan penerangan ketua pegawai eksekutif 1MDB yang jelas bermasalah.

Beberapa hari lepas saya ada membaca wakil mereka memberikan masa sehingga 1 Jun 2018 untuk kerajaan mengemukakan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada rakyat.

Bagi saya ia tempoh yang terlalu singkat dan tidak berasas. PAS telah ditolak di kebanyakan tempat di Malaysia (melalui keputusan PRU14) kecuali di Pantai Timur dan Kedah.

Ini bermakna mereka juga perlu bekerja untuk menjadi relevan semula kepada rakyat Malaysia.

Atas sebab inilah saya fikir pentingnya ada kumpulan pendesak daripada rakyat - tidak kiralah mahasiswa, aktivis sosial atau rakyat biasa. Kekosongan ini perlu diisi supaya kerajaan sentiasa dapat disemak imbang.


Baca Kadir loya dengan 'munafik' yang kembali hurung Dr M


Masalahnya, kebanyakan pengkritik kerajaan terdahulu adalah penyokong kerajaan pada hari ini, bermakna kebarangkalian untuk mereka bangkit mengkritik kerajaan amatlah rendah.

Lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai jawatan, pastinya mereka akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan itu.

Dr Mahathir pernah berkata, Melayu mudah lupa. Saya fikir Melayu atau rakyat Malaysia pada hari ini tidaklah lagi boleh menjadi kelompok pelupa.

Kita harus ingat mengapa pada PRU14 HARAPAN dipilih sebegai pemerintah. Pastinya kerana inginkan perubahan yang lebih baik. Perubahan itu sukar berlaku jika kita mewarisi sifat pelupa.


RAHMAN IMUDA ialah aktivis mahasiswa.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.