Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Sebagai seorang yang menjalankan perniagaan rantaian hypermarket, Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali berkata beliau menyambut baik tindakan kerajaan yang mengumumkan pengurangan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus.

Ameer berkata, pengurangan kadar daripada enam peratus kepada sifar itu bukan sahaja berita baik kepada orang ramai tetapi juga kepada peniaga terutama yang menjalankan perniagaan rantaian.

Bagaimanapun, menurut Ameer yang telah mengusahakan Mydin sejak 1986 berkata terdapat kekeliruan di kalangan pengguna apabila kerajaan mengumumkan kadar sifar peratus GST.

Menurutnya, walaupun GST pada kadar sifar peratus namun pengguna perlu membuat penolakan sebanyak 5.66 peratus terhadap harga barang yang telah dicampur dengan GST bagi mendapatkan harga sebenar.

“Memang kerajaan umum sifar peratus. Tetapi pengguna tidak boleh tolak enam peratus terhadap harga barang yang telah dicampur GST.

“Contohnya harga barang sebelum GST RM10, selepas GST menjadi RM10.60. Untuk mendapatkan balik harga sebelum GST, pengguna tidak boleh tolak enam peratus tetapi mereka perlu tolak 5.66 peratus atau bahagikan dengan 1.06.

“Jika harga RM10.60 tolak dengan enam peratus, harga barang akan jadi RM9.96. Itu bukan harga asal.

“Jadi saya rasa kekeliruan ini perlu diuar-uarkan kepada orang ramai supaya mereka tidak mempertikaikan harga barangan yang telah diberi sifar peratus,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 16 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengumumkan kadar GST dikurangkan menjadi sifar peratus berkuatkuasa 1 Jun.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan kerajaan menghentikan kutipan GST.

Pemansuhan GST adalah sebahagian daripada manifesto kerajaan baru Pakatan Harapan yang berjanji akan melaksanakannya dalam tempoh 100 hari.

Selain itu, Ameer juga menasihatkan orang ramai supaya bersabar sekiranya terdapat barangan yang masih memaparkan tanda harga lama.

Ini kerana, menurutnya bagi peniaga rantaian hypermarket seperti Mydin dan Tesco mereka mempunyai ratusan ribu barangan yang perlu ditukar tanda harga.

Justeru, Ameer menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa resit pembelian selepas 1 Jun bagi memastikan barangan yang dibeli tidak disertakan GST.

“Tapi terdapat beberapa barangan mungkin ada yang masa GST dilaksanakan, barang itu tidak dinaikkan harga.

“Apapun kita minta supaya mereka sabar sebab mungkin ada peniaga tak sempat tukar tanda harga.

Bantuan BR1M fokus pendapatan rendah

"Tetapi saya percaya, mereka boleh memeriksa harga di tempat periksa harga (price checker) yang disediakan atau di kaunter bayaran,” katanya lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Ameer menasihatkan pihak kerajaan agar meneruskan pemberian bantuan berkenaan.

Namun, Ameer mencadangkan agar kerajaan fokus memberi bantuan itu kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM2,000 dan ia dibuat secara bulanan.

Ia bagi memastikan agar wang berkenaan digunakan untuk membeli barangan keperluan berbanding barangan lain.

Sebelum ini, kerajaan di bawah BN mengumumkan kadar BR1M meningkat menjadi RM2,000 dan terdapat pendapatan isi rumah RM4,000 hingga RM5,000 akan turut menerima bantuan berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula semalam mengumumkan kerajaan akan mengagihkan BR1M pada bulan depan sebelum Aidilfitri namun agihan bantuan itu akan ditukar nama.

“Saya nak cadangkan supaya duit itu diberi pada yang betul-betul yang memerlukan.

“Bagi secara bulanan lebih elok atau dua bulan sekali berbanding bagi setahun dua kali atau di musim perayaan.

“Sebagai contoh, baju raya bukan keperluan harian dan ia tidak dipakai hari-hari. Yang penting keperluan harian seperti susu dan sebagainya,” katanya yang turut mencadangkan agar bantuan sebanyak RM200 atau RM300 diberi secara bulanan bagi mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah.

Lihat Komen
ADS