Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Kapal perang AS hampir ke pulau yang dituntut China
Diterbitkan:  May 28, 2018 1:29 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Dua kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berlayar berhampiran pulau yang dituntut China di Laut China Selatan pada hari Ahad lalu, kata dua pegawai tentera AS, lapor Reuters.

Laporan itu menyebut operasi berkenaan merupakan usaha terkini Washington menyaingi Beijing dalam kebebasan navigasi (rondaan pelayaran) di kawasan perairan strategik itu.

Tentera AS tidak memberi ulasan langsung mengenai operasi Ahad lalu itu, tetapi mengatakan tenteranya beroperasi di rantau ini setiap hari.

"Kami menjalankan operasi rondaan rutin dan biasa (FONOPs-Freedom of Navigation Operations), seperti yang telah kami lakukan pada masa lalu dan akan terus dilakukan pada masa akan datang," jelas armada tentera laut AS, Pacific Fleet, dalam satu kenyataan seperti dipetik Reuters.

Manakala itu, Reuters juga memetik Kementerian Luar China yang menggesa AS menghentikan tindakan sedemikian.

“China akan terus mengambil sebarang langkah yang perlu untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatannya,” kata kenyataan itu seperti dipetik Reuters.

Kapal perang mengundang kapal perang

Pada April 2018 lalu, tentera laut China menjalankan latihan ketenteraan yang paling besar di Laut China Selatan.

Manakala itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hendak mengangkat sumpah jawatan pada 9 Mei lalu, menjawab soalan pemberita, berkata walaupun beliau tidak ada masalah dengan gagasan China, "One Belt, One Road (OBOR)" namun kerajaan HARAPAN tidak mahu melihat terlalu banyak kapal perang di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, kami tidak suka melihat terlalu banyak kapal perang di kawasan tersebut kerana sebuah kapal perang akan mengundang kapal perang lain," Mahathir dipetik Reuters sebagai berkata demikian.

China, Vietnam, Taiwan, Filipina, Malaysia dan Brunei memiliki tuntutan bertindih di beberapa kawasan di Laut China Selatan.

Pembinaan pulau-pulau buatan dan kemudahan ketenteraan China di Laut China Selatan telah mencetuskan kebimbangan bahawa ia bertujuan untuk menyekat pergerakan bebas dan memperluas jangkauan strategik negara itu, termasuklah dagangan bernilai AS$ 5 trilion melalui laut itu setiap tahun, lapor Reuters.


 

Lihat Komen
ADS