Paling Popular
Terkini

Kerajaan Sabah yang baru akan menghentikan pengeksportan kayu-kayan, tetapi sebaliknya akan menggunakan sumbernya bagi mewujudkan industri tempatannya sendiri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie menegaskan bahawa Sabah perlu membina industri sendiri dan tidak sekadar mengeksport bahan mentah supaya terdapat lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

"Langkah yang drastik yang saya ambil ialah menghalangkan penjualan kayu balak ke luar negara. Saya sedar dan tahu itu satu langkahyang drastik.

"Saya bagi tahu kami (Sabah) mungkin hilang royalti kayu balak, tetapi dalam jangka masa panjang terdapat banyak peluang pekerjaan yang diciptakan daripada industri ini," kata Shafie memberitahu himpunan mahasiswa Sabah yang belajar di semenanjung ketika hadir majlis berbuka puasa di Shah Alam malam tadi.

Beliau menjelaskan rakyat Sabah juga berkemampuan menghasilkan perabot berkualiti dan produk lain untuk pasaran dunia.

"Kayu yang dari Sabah tapi yang membuatnya bukan orang Sabah...

"Kenapa kita tak boleh buat? Kenapa kita tak boleh hasilkan panel kayu untuk Mercedes benz?

"Kenapa hanya orang Itali yang boleh membuat perabot yang cantik? Rakyat Sabah boleh melakukannya, kata Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu.

Untuk pembangunan jangka masa panjang negeri di bawah bayu itu, ketua menteri menyatakan Sabah tidak lagi boleh bergantung pada pendapatan hasil petroleum dan minyak sawit.

"Kita tidak boleh bergantung dengan minyak saja, kita tidak boleh bergantung dengan kelapa sawit dalam masa yang panjang.

"Tapi kita boleh bergantung dengan insan yang berpengetahuan yang mempunyai kemahiran yang mencukupi, iaitu sumber manusia modal insan.

"Inilah pelaburan yang cukup penting bagi kita," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS