Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Bayangkan suatu petang ada seseorang bertemu dengan isteri pemimpin Umno di KLCC. Ia memang sudah dijanjikan. Maksudnya bukan pertemuan yang spontan.

Katakan lagi yang bertemu itu ialah dua wanita yang sudah lama berkenalan. Pedulilah kerana urusan kerja atau tidak.

Seperti yang dijanjikan mereka pun bertemulah. Katakan misalnya mereka berjumpa di restoran di mana-mana tingkat pusat beli-belah berkenaan.

Kelibat si isteri pemimpin Umno itu hadir bersama sebuah beg. Bukan beg tangan berjenama Birkin pun. Ia lebih kepada beg seperti bagasi beroda yang selalu dibawa orang untuk menaiki kapal terbang.

Mereka berbual seadanya dan minum-minum. Kemudian - biasalah, perempuan - mereka beraktiviti apa yang mereka mahir. Bukan membawanglah, tetapi satu lagi kemahiran mereka, iaitu membeli-belah.

Si isteri orang kuat Umno itu - katakanlah misalnya dia dari Sabah - berbelanja itu ini dengan tidak teragak-agak. Malah atas kemurahan hatinya, dia membelikan satu beg tangan kepada rakannya tadi. Ia memang ditolak. Biasalah, mana mungkin dibelanja beg tangan oleh kenalan begitu saja.

Tetapi si isteri orang kuat Umno itu bertegas mahu berbudi. Ditolak bagaimanapun, dia tetap mahu memberi. Maka transaksi pun berlakulah.

Marah di MARA

Dia menghadiahkan buah tangan kepada kenalan yang menunggunya di KLCC tadi.

Ia ialah beg tangan berharga kira-kira RM20,000. Dan sebelum mereka berpisah, dia memberi hadiah lagi. Kali ini beberapa ikat wang tunai. Semua perbelanjaan itu berlangsung dengan lancar kerana wang tersebut diambil begitu saja dari beg tadi.

Ya, beg besar beroda itu bukan berisi pakaian atau alat solek, tetapi wang tunai.

Pada ketika yang lain, seorang peguam dihubungi oleh ahli majlis MARA untuk berbincang. Puncanya peguam terbabit mewakili beberapa penjaja Melayu di Kuala Lumpur yang menyaman badan pembela bumiputera berkenaan kerana mengarahkan mereka berpindah ke gerai lain apabila tempat asal mahu diambil semula.

Andaikanlah nama peguam itu Azwan. Dan pada hari yang dipersetujui dia bersama anak guamnya hadir ke pejabat MARA. Tujuannya tentulah kerana mereka mahu tahu apa yang ditawarkan oleh badan berkenaan.

"Begini Encik Azwan, cuba beritahu saya apa yang you boleh tawarkan kepada kami," kata ahli majlis MARA tersebut.

Ia tentulah mengejutkan peguam terbabit.

"Eh saya datang ke sini sebab you yang ajak berjumpa. Kami yang menyaman MARA, maka you yang sepatutnya beri tawaran kepada kami," kata peguam berkenaan.

Pertemuan itu berlangsung tidak seperti yang diharapkan. Ia bukan disebabkan oleh salah faham atau tersilap komunikasi. Perbualan itu berlanjutan lagi dengan ahli majlis MARA itu - yang masih muda - mula menyerahkan kad bisnesnya. Ia tertera nama beliau serta nama Umno bahagian di Kuala Lumpur.

Dia kemudian bercerita tentang penglibatannya dalam Umno. Tidak banyak bercerita tentang kedudukannya sebagai ahli majlis MARA. Mungkin baginya susuk peribadi dia sebagai pemimpin Umno bahagian jauh lebih mustahak - dan besar - berbanding kerusi ahli majlis itu sendiri.

Susahnya nak terima Merdeka

Peguam itu dan penjaja terbabit akhirnya pulang tanpa ada sebarang penyelesaian - sehinggalah mahkamah menentukan hakim memihak kepada mereka.

Apakah punca Umno ditolak rakyat semasa pilihan raya umum (PRU) lalu? Banyak, tetapi antara puncanya ialah rungutan bahawa parti itu semakin bersifat elitis, selain ia dipandu hala tujunya oleh orang bangsawan.

Semasa ia ditubuhkan dulu, memang orang bangsawan jualah yang berusaha membangunkan Umno. Justeru ia bersifat lunak kepada Inggeris.

Ketika si pemberani melawan penjajah dengan selayaknya pejuang negara, Umno kekal dengan slogan "Hidup Melayu". Malah idea Malayan Union itu hampir-hampir saja menjadi kenyataan kerana sebahagian raja-raja Melayu sudah menurunkan tandatangan masing-masing.

Hanya selepas keadaan kelihatan tidak memihak kepada Umno barulah pemuka-pemukanya tergerak hari melaungkan slogan "Merdeka!" bagi menggantikan "Hidup Melayu" itu.

Bahawa perubahan sikap berkenaan tidak memadamkan sejarah bahawa semangat mahu merdeka itu ditiupkan dengan gigihnya sejak awal oleh pertubuhan yang lebih jantan, seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Tapi tak apalah. Akhirnya Umno kelihatan merakyat juga. Ada juga pemimpinnya yang mahu menundukkan kepala untuk melihat jerit dan jerih orang marhaen di Tanah Melayu ini.

Hinggalah ia sekali lagi dirasakan kebangsawanannya. Terasa benar. Bukan sikit-sikit punya rasa. Buktinya, apabila rakyat mengeluh terpaksa membayar tol di lebuh raya, ada orang Umno menyarankan orang ramai memilih jalan lain yang tidak mengutip bayaran.

Kemudian apabila orang ramai merungut terpaksa berbelanja lebih keraja ada lembaga bernama cukai barangan dan perkhidmatan (GST), segera turun ilham pujangga yang amat bijaksana. Kita dilawakkannya supaya tinggal di bulan!

Kemudian ada pula yang menyarankan rakyat - termasuk penuntut institusi pengajian tinggi - memasak sendiri hidangan sebagai jalan paling ampuh mengatasi kenaikan kos sara hidup.

Itu belum lagi tokoh masyarakat yang membuka mulut. Bukan mereka tidak boleh bersuara. Boleh, cuma suara mereka wajib memihak kepada Umno. Kalau berbeza waima satu hun pun, wajiblah mereka dilabel pembangkang.

Tak cukup cerdik

Maka mulalah diungkit-ungkit kekayaan tokoh berkenaan. Itu belum lagi diambil kira pegawai kanan kerajaan yang menyindir, atau orang kuat puteri Umno yang menempelak. Boleh tahan pedasnya.

"Setakat pegang telefon, picit-picit...tulis, taip...tak payah," misalnya.

Kemuncaknya ialah apabila pemimpin-pemimpin tidak nampak ada rasa bersalah menayangkan kekayaan masing-masing ketika rakyat di bawah menderita mahu memenuhkan perut anak-anak dengan makanan yang sihat dan mengenyangkan.

Apatah lagi orang ramai mula menyedari pemimpin Umno itu nampak benar ciri-ciri bangsawannya. Misalnya dia tidak tahu bahawa kangkung itu bukanlah contoh yang cerdik untuk dipetik sebagai bukti harga barang turun dan rakyat wajib berterima kasih kepada kerajaan.

Seseorang anak yang dibesarkan oleh keluarga berada, bangsawan dan elit - oleh seorang perdana menteri misalnya - boleh saja memahami kesempitan masyarakat jika dia mahu. Masalahnya dia tidak mahu. Atau, mungkinkah dia sebenarnya mahu, cuma akalnya tidak dapat mencerap dan memproses maklumat yang sampai ke sel-sel otaknya?

Maka apabila Umno tersungkur, berebut-rebut ahli parti mencari formula menyelamatkan parti berkenaan. Menjelang pemilihan barisan pimpinan Umno tidak lama lagi, setakat ini belum ada mana-mana ahli yang kelihatan lebih cerdas untuk menyedari bahawa masalah parti berkenaan ialah kebangsawanan itulah.

Nah, oleh satu kumpulan ditunjuknya Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon presiden. Namanya saja sudah ada gelaran bangsawan.

Apakah beza seorang lelaki yang dibesarkan dalam keluarga perdana menteri dengan seorang ahli politik yang dilahirkan dalam lingkungan istana?

Justeru, apakah Zahid Hamidi itu lebih marhaen sifatnya? Memanglah dia orang Bagan Datoh. Bagi anda yang pernah belajar Ilmu Alam semasa di sekolah rendah pada era 1970-an dulu tahu benarlah kawasan di antara bandar Teluk Anson dan Sabak Bernam itu ialah petempatan kampung yang menjadi pengeluar kelapa.

Zahid asalnya dari daerah itulah.

Masalahnya kebangsawanan Umno bukan lagi ditakrifkan sekadar oleh darah yang mengalir dalam tubuh, nama bergelar atau latar belakang ibu bapa.

Umno itu sendiri ialah istana yang menyediakan ruang buat para bangsawan. Tengku Adnan Tengku Mansor - sebagai tokoh terkemuka memakai gelaran Tengku itu - tentu sangat arif tentang hal ini.

Nasib baik tersungkur

Pedulilah dari mana - atau bagaimana - asal-usul istilah berkenaan, sama ada gabungan "bangsa" dan "awan" yang menggambarkan perbezaan kasta dalam masyarakat dulu-dulu, atau ada kaitan dengan masalah "sawan" yang menyusahkan itu.

Dua cuplikan kisah pada pembukaan tulisan ini adalah contoh kerdil bagaimana kebangsawanan tumbuh subur dalam sebuah istana tanpa berstruktur fizikal bernama Umno.

Pada satu ketika memisahkan nilai-nilai kebangsawanan daripada Umno samalah susahnya mengasingkan rasa manis pada gula dan masin pada garam.

Pada lembaga itulah sebahagian orang mahu menyandarkan harapan untuk menyelamatkan bangsa.

Mujur juga Umno tersungkur pada 9 Mei lalu, justeru mereka boleh melihat kepada cermin yang selama puluhan tahun tidak diendahkan. Dalam teraba-raba mencari jalan keluar dari lorong gelap-gelita itulah mereka membayangkan jalan penyelesaian.

Setakat ini calon untuk menjadi pemimpin parti itu ialah Zahid dan Tengku Razaleigh. Di mata Umno, barangkali itulah jawapan terbaik yang dapat mereka kemukakan untuk kembali bernafas dalam arus perdana politik.

Namun di mata rakyat, isu sebenar pada Umno bukan tentang "siapa", tetapi "mengapa".

Dan teguran yang diberikan ini pun bukanlah kerana kita sayangkan sangat Pakatan Harapan (HARAPAN). Gabungan yang menguasai Putrajaya itu masih baru, hijau dan berbedung. Ulahnya pasti ada, cuma belum nampak ketara.

Kita tidak mahu sifat-sifat bebal dan kebangsawanan Umno itu bertelur dan menetas dalam HARAPAN. Kesilapan, penyelewengan atau pembohohongan tidak dapat diterima kalau dilakukan oleh BN, tetapi sebelah mata boleh ditutup kalau menteri besar melakukannya.

Mengaburi orang ramai dengan ijazah atau taraf pendidikan, misalnya.

Maklumlah, puluhan tahun membangkang, sekali mendapat kuasa kadang-kadang tenggelam punca juga.

Mentang-mentang menjadi menteri - misalnya - maka apabila ada majlis kenduri-kendara, atau rumah terbuka, sudah mula lupa kepada Malaysiakini.

Malaysia baru, konon...


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang masih belum menguasai laras bahasa bangsawan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS