Malaysiakini BERITA

MP: 'Tak mahu GST, pi dok di bulan' hanya lawak

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Langkawi berkata beliau hanya bergurau dengan rakannya di media sosial apabila menyarankan mereka yang tidak setuju dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) supaya "tinggal di bulan".

Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata gurauan ini kerana individu, yang bertanya kepadanya mengenai perkara itu di akaun Facebook, mengguna lambang parti PAS, iaitu bulan, sebagai gambar profilnya.

Jawapan Nawawi itu telah mengundang kritikan warga media sosial yang tidak berpuas hati dengan reaksi ahli Parlimen Umno itu, terutama penggunaan perkataan 'kurang sopan' dalam jawapannya itu.

Semakan Malaysiakini mendapati Nawawi telah memadam tulisannya itu di Facebook, tetapi ada blog yang menyiarkan salinan paparannya.

Nawawi, yang juga pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), menjelaskan bahawa individu berkenaan bertanya kepadanya bagaimana kalau tidak bersetuju dengan GST.

"Saya melawak dengan kawan-kawan dalam Facebook, itu biasalah, mereka selalu masuk (mengulas) dalam Facebook saya, jadi kalau dia cakap macam-macam, kita pun melawaklah.

"Dia (pengguna itu) kata kalau tidak mahu bayar GST, saya cakap pergi duduk di bulanlah sebab dia orang PAS (kerana pakai lambang bulan)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Jadi duduk di bulanlah sebab lambang (gambar profil) pun bulan."

Sebelum itu, Nawawi menulis di laman Facebooknya: "Tak mahu bayar cukai pi dok di bulan. Memang kerajaan hidup atas cukai rakyat termasuk Kelantan,” katanya.