Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno malap atau bersinar bukan urusan saya, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 10:45 AM
Dikemaskini: 4:11 AM

Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata masa depan Umno bukan perkara yang menarik perhatiannya melainkan jika parti itu terus menyebarkan pembohongan mengenai DAP.

"Sama ada pemimpin Umno malap atau bersinar itu bukan urusan saya.

"Tetapi ia menjadi urusan saya jika pemimpin Umno terus menyebarkan pembohongan, berita palsu dan maklumat tidak benar mengenai DAP," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan unit komunikasi strategik Umno yang "misteri, tidak bernama dan tidak berwajah" meminta pihak luar untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Umno.

Umno dalam kenyataannya semalam berkata pertandingan jawatan tertinggi pertubuhan itu menunjukkan demokrasi subur dalam parti berkenaan.

'Kit Siang dikecam dan dibenci'

"Ini mencerminkan suburnya amalan demokrasi sejak bermulanya era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memikul tugas presiden parti.

"Ini berlainan dengan 'penutupan' pintu pertandingan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden apabila jawatan nombor satu dan nombor dua 'digalakkan' tanpa pertandingan.

"Ini bersamaan dengan cara Lim Kit Siang memimpin DAP, yang dikecam dan dibenci oleh ahli serta pemimpinnya pada zaman itu," kata Umno.

Selanjutnya, Lim mengingatkan Umno bahawa pada zaman selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (GE14) Malaysia ini parti itu akan didedahkan jika mereka meneruskan politik "toksik" yang menyebarkan penipuan terutama mengenai DAP.

"Anggota DAP dan rakyat Malaysia tidak akan melupakan percubaan oleh pemimpin Umno dan petugas mereka untuk memecahkan dan malah mengharamkan DAP, salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling menjengkelkan di era bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau mendakwa DAP mengalami kesukaran selama enam tahun sejak dari 2012 hingga 2018 berpunca daripada pemimpin Umno menyalahgunakan kuasa mereka.

Kit Siang mendakwa Umno mempengaruhi Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk melunturkan semangat DAP dan melemahkan perjuangan mereka dengan menolak mengakui keputusan pemilihan jawatankuasa eksekutif DAP pusat pada bulan Disember 2012.

"Cukup mengagumkan DAP berjaya mengharungi (tekanan) selama enam tahun, sama mengagumkan apabila pengundi Malaysia melawan segala kemungkinan, jangkaan dan ramalan penganalisis arus perdana dan tinjauan, lantaran mengejutkan dunia dengan peralihan kuasa yang aman dan demokratik dalam PRU14 pada 9 Mei 2018," katanya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada akhir bulan ini perlu meminta maaf kepada DAP atas kesulitan yang dialami parti ini selama enam tahun, katanya.

Lihat Komen
ADS