Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Media sendiri rangka undang-undang antiberita palsu'
Diterbitkan:  Jun 19, 2018 6:31 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa pihak media bersama-sama mencadangkan undang-undang untuk membanteras penyebaran berita palsu, menggantikan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Beliau berkata, akta yang diluluskan sebelum PRU ke-14 itu bukan bertujuan menangani berita palsu tetapi sebagai alat menekan penentangan terhadap kerajaan BN pada masa itu.

Tetapi pada masa sama, katanya, berita palsu kian mempengaruhi masayarakat dan ada keperluan untuk memastikan persekitaran sihat agar industri media terus berkembang.

"Ada keperluan terhadap undang-undang berita palsu. Saya mencadangkan pihak akhbar (media) duduk bersama untuk mencadangkan undang-undang antiberita palsu kepada kerajaan.

"Undang-undang bukan saja datang daripada kerajaan, ia boleh datang daripada orang ramai. Jadikan ini undang-undang pertama yang datang daripada media," katanya ketika berkunjung ke pejabat akhbar Tamil, Tamil Malar, di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN), Akta Antiberita Tidak Benar 2018 merupakan salah satu undang-undang yang mahu dimansuhkan jika gabungan itu berjaya mentadbir negara.

Walaupun terdapat ketidaktentuan sama ada ia akan dimansuh atau disemak semula awalnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Jun lalu menyatakan ia akan dimansuhkan pada sesi pertama sidang parlimen penggal ini yang akan bermula 20 Julai ini.

Lim berkata, beliau sendiri menjadi mangsa berita palsu dahulu apabila sering dituduh sebagai "antiIslam dan antiMelayu" serta pengkhianat negara.

Beliau juga memuji Tamil Malar yang menurutnya tetap mempertahankan prinsip kewartawanan walaupun pernah diancam untuk ditutup.

"Pada masa lalu, anda tetap berdiri walaupun mereka memberitahu lesen anda habis (dibatalkan). Tetapi anda tetap berjuang untuk kebebasan dan keadilan," katanya lagi.

Pergaduhan 2017

Lim berkata beliau berharap Tamil Malar dan organisasi media lain untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan yang merupakan unsur penting dalam demokrasi.

"Saya sokong sepenuhnya kenyataan pengerusi anda bahawa anda akan bersuara terhadap salah laku kerajaan. Tolong bersuara, anda ada sokongan penuh saya," katanya yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri.

Akhbar itu menjadi perhatian pada 2017 ekoran pergaduhan yang tercetus di pejabatnya sehingga menyebabkan editor Oms Thiagarajan dan penasihat undang-undang K Saraswathy cedera.

Pergaduhan dipercayai tercetus ekoran laporan yang disiarkan akhbar itu berhubung kutipan sewa di sebuah bangunan milik MIC di Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Tamil Malar SM Periasamy berkata beliau telah mengundang Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan ke pejabatnya untuk memberikan penjelasan, tetapi pejabat itu terlebih dahulu didatangani sekumpulan lelaki.

Saravanan kemudian mendakwa beliau tiba kemudiannya untuk meleraikan pergaduhan.

Polis kemudian mengambil kenyataan 23 individu, termasuk Saravanan yang ketika itu menjadi timbalan menteri belia dan sukan. Tiada tindakan lanjut diambil.

Beberapa bulan kemudian, Tamil Malar memfailkan saman fitnah bernilai RM50 juta terhadap Saravanan ekoran kenyataannya terhadap akhbar itu.

Lihat Komen
ADS