Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan bomba: Jangan buat spekulasi kematian CEO
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 10:02 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor enggan mengesahkan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan meninggal dunia akibat letupan telefon bimbit.

Bercakap kepada Malay Mail, pengarah jabatan itu Azmi Osman berkata dakwaan itu dibuat oleh keluarga mangsa sendiri.

Beliau menggesa semua pihak mengelakkan spekulasi mengenai kes itu memandangkan pihaknya masih menunggu keputusan daripada makmal ujian.

Beliau menjangka keputusan hanya akan diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu dan sehubungan itu tidak menolak unsur-unsur lain dalam kematian Nazrin.

"Kenyataan bahawa kebakaran berpunca dari telefon telefon bimbit yang sedang dicas meletup dibuat oleh pihak keluarga, bukan kami.

"Harap tunggu, jangan buat apa-apa spekulasi lagi. Tetapi untuk menjelaskan keadaan, kami tidak kata ia disebabkan letupan telefon bimbit. Berilah kami masa untuk menyiasat," kata Azmi.

Beliau dilaporkan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak meminta bantuan polis kerana belum menemui unsur mencurigakan sementara menunggu siasatan.

Nazrin meninggal dunia selepas berlaku kebakaran dalam biliknya di rumahnya di Mutiara Damansara Khamis lalu.

Lelaki berusia 48 tahun itu dilaporkan meninggal dunia akibat menghidu asap berlebihan dan melecur 30 peratus di bahagian badan.

Bagaimanapun, Cradle Fun dalam kenyataan pada hari berikutnya menyatakan telefon bimbit yang meletup semasa sedang dicas, mungkin menjadi punca kebakaran dalam bilik tidur Nazrin.


Baca: Letupan telefon bimbit punca kematian CEO Cradle Fund


Mesej daripada keluarga Allahyarham Nazrin yang tular dalam media sosial, memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa telefon itu terlampau panas lalu dan meletup, mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

Lihat Komen
ADS