Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Letupan telefon bimbit punca kematian CEO Cradle Fund

Sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil yang meletup semasa sedang dicas, mungkin menjadi punca kebakaran sebuah bilik tidur semalam yang mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Mesej daripada keluarga Allahyarham Nazrin yang kini tular dalam media sosial, memetik seorang ipar lelaki yang mendakwa pada suatu peringkat, telefon itu terlampau panas lalu dan meletup, mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

Tilam turut disambar api, namun ketika ini Nazrin sudah pun tidak bernyawa, kata ipar Allahyarham yang namanya tidak disebut dalam mesej berkenaan.

“Beliau ada dua telefon, satu Blackberry dan satu Huawei. Saya tidak tahu mana satu yang meletup. Siapa sangka prosedur rutin yang tidak berbahaya ini adalah penyebab tiga anak kecil membesar tanpa bapa mereka di sisi,” katanya.

Menurut polis, Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansaraa semalam dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Hati-hati cas telefon

Mesej itu turut memuatkan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mengecas telefon bimbit, termasuk mempertimbangkan zon yang selamat untuk berbuat demikian.

"Paling baik, bukan di dalam bilik tidur. Ia jauh lebih berbaloi sungguhpun telefon berada jauh daripada jangkauan,” kata ipar Allahyarham.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

Sementara itu, pengurusan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dalam kenyataan medianya di sini hari ini mengesahkan laporan bedah siasat menyimpulkan kematian berpunca daripada komplikasi kecederaan akibat letupan telefon bimbit yang sedang dicas berdekatannya.

Syarikat permulaan teknologi

Selama lebih 15 tahun, Nazrin mendedikasikan usaha beliau untuk mempromosikan pembiayaan peringkat awal syarikat permulaan teknologi.

Nazrin mendapat pendidikan di United Kingdom dan memperoleh Sarjana Muda Undang-undang (LL.B Hons) daripada University of Buckingham pada 1994.

Ketua Pegawai Operasi Cradle, Razif Aziz berkata, "Cradle telah kehilangan seorang genius yang kreatif dan berwawasan, manakala dunia pula kehilangan insan yang amat mengagumkan. Mereka yang bertuah dapat mengenali dan bekerja dengan Nazrin telah kehilangan rakan tersayang dan mentor yang memberi inspirasi ".

Juliana Jan, Ketua Pegawai Pelaburan Cradle berkata, "Kami sangat terkejut dan sedih mendengar berita ini. Selepas bekerja dengannya selama bertahun-tahun, visi dan semangatnya telah membawa kemungkinan tidak berkesudahan bukan hanya Cradle, tetapi kepada ekosistem syarikat permulaan.

“Dia membawa perubahan dan memberi inspirasi kepada kami, keluarga Cradle, bersama dengan beberapa pengasas syarikat permulaan, pelabur dan rakan kongsi. Beliau adalah pemimpin berwawasan yang yang sukar dicari ganti dan meninggalkan kesan luar biasa dalam ekosistem syarikat permulaan."

- Bernama

Lihat Komen
ADS