Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peraturan larang tukang masak asing dikritik NGO

Pengumuman peraturan baru melarang mengambil pekerja warga asing sebagai sebagai tukang masak yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran semalam dikritik NGO hak pekerja.

Idea di sebalik dasar itu adalah sejenis diskriminasi terhadap pekerja asing, kata NGO North South Initiative (NSI).

"Biasanya pekerjaan diputuskan berdasarkan kemahiran dan bukan kewarganegaraan.

"Mengenai prinsip tidak melakukan diskriminasi, pekerjaan tidak seharusnya mempunyai ruang untuk sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan, jantina, bangsa, agama atau sebagainya," tegas Pengarah Eksekutif NSI, Adrian Pereira.

'Kurang penyelidikan'

NSI ialah kumpulan yang berjuang untuk hak-hak golongan terpinggir, seperti pekerja asing, Orang Asli, golongan belia Papua Barat, pelarian dan petani.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Adrian memaklumkan kekurangan penyelidikan dan langkah sokongan yang betul sebelum melaksanakan dasar sedemikian akhirnya akan memburukkan lagi masalah pekerja tidak berdokumen.

"Mereka tidak melakukan kajian terperinci tentang pasaran buruh formal dan tidak rasmi.

"Ini akan menjadi buruk bagi industri dan memaksa pendatang ke dalam keadaan tidak teratur," katanya.

Adrian (gambar) menyifatkan pengumuman Kula sebagai keputusan "mendadak" dan "populis" tanpa sebarang rundingan dan penyelidikan yang sewajarnya di pasaran tenaga buruh serta tanpa perhatian mengenai hak pekerja asing.

"Saya harap kerajaan baru tidak membuat keputusan populis dengan secara tiba-tiba, yang tidak berasaskan hak. Kerajaan harus berbincang dengan pertubuhan masyarakat sivil, kesatuan sekerja dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sebelum membuat keputusan berdasarkan kesemua bukti yang dikemukakan," katanya.

Sementara itu, penasihat Selangor Friends of Women Association, Irene Xavier (gambar), berkata kementerian itu mempunyai kuasa untuk membuka atau menyekat pengambilan pekerja asing dalam mana-mana sektor, tetapi ia perlu membentangkan suatu rancangan yang menyeluruh.

"Baiklah, kita tidak boleh mengatakan ia sejenis bentuk diskriminasi. Pekerja asing diambil bekerja khusus untuk beberapa sektor. Sekiranya kementerian tidak mahu mana-mana pekerja asing untuk direkrut dalam mana-mana sektor, ini adalah sesuatu yang boleh dibincangkan. 

"Bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah dengan mengeluarkan rancangan yang betul dan menyeluruh bagi menangani semua isu, termasuk pekerja tanpa dokumen, kos penghijrahan yang tinggi dan sebagainya, bukan hanya mengatakan bahawa 'kita tidak mahu tukang masak warga asing lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Irene mencadangkan kementerian perlu mengurangkan pergantungan pekerja asing dengan cara yang beransur-ansur untuk mengurangkan kesan negatif terhadap pekerja asing dan pemilik perniagaan.

"Saya fikir ia sepatutnya menjadi dasar yang lebih beransur-ansur. Menteri perlu membuat keputusan selepas kajian dan perundingan dengan mereka yang terlibat dengan pekerja asing," katanya.

Gaji rendah kerana pekerja asing

Menurut dasar sedia ada, terdapat enam sektor yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing, iaitu pekilangan, perladangan, pertanian, pembinaan, perlombongan, dan industri perkhidmatan.

"Tukang masak restoran" merupakan salah satu pekerjaan yang disenaraikan di bawah industri perkhidmatan, maka adalah sah untuk menggajikan chef warga asing jika kedua-dua majikan dan pekerja memenuhi syarat-syarat kelayakan.

Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk menyelaraskan gaji minima secara nasional dan meningkatkan gaji minima dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Dalam janji ke-34 manifesto PRU14, HARAPAN menyebut kerajaan baru akan mengurangkan jumlah pekerja asing daripada 6 juta ke 4 juta pada tempoh pertama penggal pentadbirannya kerana HARAPAN percaya pertambahan pekerja asing adalah salah satu faktor penyebab yang menjadikan gaji rendah di negara ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS