Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Jangan ulang zaman presiden dianggap 'dewa politik'
Diterbitkan:  Jun 24, 2018 7:02 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata ketua parti yang baru perlu mendisiplinkan pemimpin yang membuat kenyataan berbentuk samseng dan mencetuskan kemarahan rakyat.

"Kadang-kadang kita buat ucapan yang terlalu rasis dan mengguris hati orang lain. Kita buat kenyataan seksis rendahkan martabat wanita.

"Presiden mesti menunjukkan teladan yang baik. Sekiranya ada kenyataan daripada pemimpin atau ketua bahagian yang dominan pun, berbentuk samseng dan mencetuskan kemarahan rakyat, tegurlah.

"Kita kena ada disiplin yang kuat daripada presiden untuk memastikan tiada lagi tanggapan seperti ini," beliau memberitahu wawancara Mingguan Malaysia hari ini.

Khairy berkata Umno kini berdepan dengan tanggapan negatif.

'Bongkak, sombong, gangster'

"Bongkak, sombong, gangster, buat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat, politik wang, budaya eksklusif maknanya Umno untuk orang tertentu sahaja seperti bangsawan dan elit," katanya.

Khairy yang mesra digelar KJ berkata presiden Umno perlu terbuka menerima kritikan dan teguran.

"Kita hendak presiden yang betul-betul bersama dengan kita dan boleh diberikan nasihat.

"Kita jangan lagi mengulangi zaman di mana presiden diangkat menjadi seolah-olah 'dewa politik' yang tidak boleh disentuh, ditegur dan kita merasa segan untuk dikritik," kata anggota parlimen Rembau itu.

Khairy berkata beliau yakin sokongan bukan Melayu akhirnya akan kembali kepada BN jika gabungan itu dapat membuktikan peranannya terhadap kerajaan.

Skandal 1MDB, bukan Umno perlu jawab

Mengulas soalan cara beliau akan mengendalikan isu 1MDB jika menang presiden, beliau berkata mereka yang bertanggungjawab mesti tertakhluk di bawah undang-undang.

"Kita kena letakkan garisan. Memang betul kita sokong Najib dahulu dan betul kita silap kerana tidak memberitahu beliau keadaan sebenar.

"Tetapi dari segi implikasi undang-undang mesti dijawab oleh mereka yang terlibat.

"Terpalitnya Umno kerana menyokong Najib (skandal 1MDB). Tetapi sekiranya ada kesalahan, itu mesti dijawab oleh mereka yang terlibat, bukan Umno," jelasnya.

Bagi jawatan presiden Umno, KJ akan berdepan cabaran pemangku presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu, dua orang calon yang kurang dikenali, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin turut ikut serta merebut jawatan tertinggi parti itu yang kehilangan kuasa persekutuan pada PRU14 lalu.

 

Lihat Komen
ADS