Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rampasan 41 bom buatan Malaysia di Thailand, PDRM beri kerjasama

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan rakan sejawatnya berhubung kes peranti peledak yang ditemui di Narathiwat dipercayai telah diubah suai serta didakwa dihasilkan di negara ini.

Ia ekoran penemuan sebanyak 41 bom buatan sendiri daripada sebuah trak pikap oleh pasukan keselamatan di selatan Thailand pada Jumaat lalu.

"Kita sedang bekerja rapat dengan rakan sejawat untuk mendapatkan maklumat agar kita dapat lengkapkan (siasatan)," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Aman hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Manas Sikamat dipetik sebagai berkata kepada media Thailand bahawa bom buatan sendiri itu dihasilkan di Malaysia, dengan ia disasarkan kepada para pegawai keselamatan, lapor Bernama.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya tentang asal-usul bom tersebut, walaupun pegawai Thailand yang tidak dikenali dipetik media tempatan sebagai mendakwa bahawa paip PVC, yang digunakan bagi menghasilkan bom buatan sendiri itu, tidak terdapat di Thailand.

Trak dari Sungai Golok

Pegawai yang melakukan pemeriksaan di Kampung Saring, Takbai di Narathiwat pada 11.45 pagi telah menghentikan sebuah trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun, yang kemudiannya ditahan.

Trak itu dipandu dari Sungai Golok, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia dalam daerah Ranget di Narathiwat.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas trak itu, para pegawai menemukan 41 bom buatan sendiri yang disembunyikan di bawah selimut tebal di belakang kenderaan itu bersama-sama dengan peralatan lain termasuk alat penentu masa dan komunikasi, yang disyaki digunakan untuk meletupkan bahan peledak itu.

Menurut pegawai-pegawai bahagian Letupan, Ordinan dan Pelupusan (EOD) yang berada di tempat kejadian, bom buatan sendiri itu boleh digunakan pada bila-bila masa.

Lihat Komen
ADS