Jenazah Dr Azahari dibawa pulang petang esok
Jenazah pakar bom Dr Azahari Husin yang terbunuh di Kota Batu, Malang, Indonesia minggu lalu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.45 petang esok.
Jenazah pakar bom Dr Azahari Husin yang terbunuh di Kota Batu, Malang, Indonesia minggu lalu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.45 petang esok.
Menurut jurucakap keluarganya, Badaruddin Ismail, jenazah tersebut akan tiba dengan pesawat MAS, MH720.
Katanya, sebaik tiba, ia akan terus dibawa ke Jasin, Melaka untuk dikebumikan pada sebelah malamnya.
"Jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Jasin untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chin Chin," kata Badruddin yang juga penyelaras Suara rakyat Malaysia (Suaram).
Menurut beliau lagi, semua urusan pengecaman mayat telah selesai dibuat di hospital polis Jakarta.
Katanya, adik Dr Azahari, Bani Yamin Husin telah mengesahkan mayat tersebut adalah abangnya.
Bani Yamin juga memberitahu beliau, semua urusan fardu kifayah termasuk kafan dilakukan di Jakarta.
"Ia dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa negara itu serta kedutaan Malaysia di Jakarta," kata Badaruddin lagi.
Adik cam mayat
Sementara itu laporan Bernama dari Jakarta menyatakan, Bani Yamin telah mengecam mayat berkenaan dengan ciri-ciri pribadi dan fizikal Dr Azahari.
Antaranya ialah tahi lalat pada bibir sebelah kiri, susunan gigi atas saling bertindih, susunan gigi atasnya menonjol, kesan luka selepas pembedahan di peha kanan, jari kaki kirinya nombor empat dan nombor lima panjangnya sama dan garis di tapak tangan kanan lurus serta jelas.
Dalam pada itu, persediaan untuk mengebumikan janazah Dr Azahari di Jasin telah siap dibuat.
Liang digali di berdekatan pusara ibunya, Hajjah Amal yang meninggalkan lapan tahun lalu.
Dr Azahari, 48, menjadi orang paling dikehendaki di Asia sejak kejadian pengeboman pusat hiburan di Bali pada Oktober 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.
Beliau juga dituduh mendalangi pengeboman hotel JW Marriot di Jakarta pada Ogos 2003 dan letupan di luar kedutaan Australia tahun lalu.
Pakar bom itu terbunuh apabila rumah sewa tempat persembunyiannya diserbu pasukan elit polis dan tentera Indonesia Rabu lalu. Dua rakannya dilaporkan turut terbunuh dalam serbuan tersebut.
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.

