Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada lagi bazar Ramadan, Deepavali di Jalan TAR
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 4:07 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi membenarkan penganjuran bazar Ramadan dan Deepavali di kawasan Masjid India dan di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman mulai tahun depan meskipun menerima bantahan ramai.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, penganjuran bazar yang bukannya bersifat tetap itu menimbulkan pelbagai masalah termasuk isu sampah-sarap dan halangan sehingga mengakibatkan kesesakan trafik.

Selain itu, katanya bazar berkenaan juga tidak teratur dan sering dikuasai oleh penjaja asing sehingga menimbulkan pergaduhan dengan anggota DBKL dan peniaga lain.

“Ini menyusahkan semua pihak,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian selepas ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri DBKL di Kuaal Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, penjaja boleh mencari lokasi ganti di tapak bazar lain sekitar ibu negara untuk terus beroperasi sempena Ramadan akan datang.

"Jadi penjaja-penjaja ini perlu mencari lokasi sesuai dan berbincang dengan penganjur atau dengan ahli parlimen sama ada dibenarkan atau tidak.

“Sekarang kita dengar suara rakyat dan ahli parlimen," katanya.

Menurut laporan itu, bazar yang juga dikenali sebagai bazar Masjid India itu mula dibuka sekitar tahun 2003 bermula dengan 100 lot tapak dan kini mempunyai sehingga 300 lot tapak.

Satu kontroversi tercetus sebelum Aidilfitri tahun ini selepas seorang ahli politik parti kerajaan didakwa “menyembelih” peniaga.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS