Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar pernah tegur Najib isu RM2.6 bilion
Diterbitkan:  Jun 29, 2018 1:19 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Calon timbalan presiden Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini memberitahu beliau pernah memberi teguran kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Menurut Annuar, beliau bersama beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi teguran itu secara lisan malah turut menulis memorandum kepada bekas presiden Umno berkenaan.

"Banyak orang yang tak tahu saya menjadi jurucakap kepada satu kumpulan yang terdiri daripada anggota kabinet dan MT untuk berhadapan dengan Najib bagi menuntut jawapan isu RM2.6 bilion.

"Saya juga orang yang pergi ke pejabat Najib membawa memorandum yang bertulis daripada kawan-kawan MT memberi teguran bahawa Umno boleh kalah pada pilihan raya umum ke-14 kalau perkara tertentu tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan.

"Memorandum tiga muka surat. Teguran memang hebat cuma kita kalau nak menegur dalam jemaah kita, kena ada etika, dengan cara berhikmah," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di Facebook akhbar harian berkenaan.

Sehubungan itu, anggota parlimen Ketereh itu turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa tidak pernah memberi teguran kepada Najib.

"Sangat-sangat salah (dakwaan itu). Secara dalaman kami berbincang dengan hebat, teguran itu juga hebat dan beberapa MT melontarkan suara cukup keras. Proses itu ada dan berlaku," kata Annuar lagi.

Bagaimanapun, Annuar tidak menyebut bila teguran itu dibuat dan tarikh penyerahan memorandum berkenaan.

Untuk rekod, Annuar antara pemimpin Umno yang menandatangani Deklarasi Kelantan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2016.

Selain Annuar, turut menandatangani deklarasi itu ialah 57 individu lain termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang kini bertanding jawatan presiden Umno.


Baca: Ku Li meterai Deklarasi Kelantan sokong Najib sebagai PM


Pada 2015, isu derma RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Najib timbul. Difahamkan derma itu disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib dan wang tersebut juga didakwa merupakan sumbangan derma daripada dermawan dari Timur Tengah.

Wang tersebut juga dikatakan untuk kegunaan dan faedah Umno serta bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Hanya bantu siasatan SPRM

Sementara itu, dalam wawancara sama, Annuar turut bercakap mengenai pentingnya seseorang pemimpin mempunyai integriti yang tinggi bagi memastikan rakyat terus yakin dengan mereka.

Bercakap soal integriti, Annuar turut membangkitkan isu yang melibatkan dirinya semasa menjadi pengerusi Majlis Amanah Raya (MARA).

Annuar memberitahu, beliau bukan individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya kehadirannya ke pejabat badan berkenaan pada Januari 2017 itu untuk membantu siasatan.

"Timbul tanggapan, orang ingat saya pula yang disiasat SPRM. Saya tak dipanggil saya pergi terus ke SPRM tanpa tunggu dipanggil dan saya sendiri bawa fail dan minta SPRM siasat.

"Tiba-tiba ada tuduhan kepada saya. Saya pergi ke SPRM untuk beri kerjasama. Isu pembelian bangunan berlaku sebelum saya jadi pengerusi MARA dan ia berbangkit semasa saya jadi pengerusi MARA.

"Isu tajaan bola sepak menggunakan duit biasiswa juga tidak betul. Jika saya jawab (dakwaan orang ramai) isu tak selesai. Saya terus ke SPRM dan beri kerjasama dan SPRM membuktikan dakwaan itu tak benar. Kita kena jaga integriti," kata Annuar lagi.

Lihat Komen
ADS