Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, 59, yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Persekutuan hari ini merupakan antara peguam yang banyak memperjuangkan kes-kes berkaitan tanah hak adat anak negeri (NCR) di Sarawak.

Di peringkat pengajian awal, beliau bersekolah di kawasan pedalaman Sarawak di Long Tellang, Long Semadoh, dan Long Napir sehingga awal 1970-an sebelum menyambung pengajian peringkat menengah di Limbang, di bahagian utara Sarawak.

Selepas menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kerajaan Medamit, Limbang, Baru daripada suku kaum Lun Bawang melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) (UiTM), Shah Alam, Selangor dalam jurusan Diploma Undang-Undang dan seterusnya memperoleh Bachelor of Law (LL.B) di Melbourne University, Australia pada 1986.

Beliau kemudiannya menjadi pelatih di firma Messrs Rashid & Lee, Kuala Lumpur dan diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Malaya, dan ketika inilah beliau mulai berjinak dalam arena politik, di peringkat permulaan sebagai anggota biasa Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Pembabitannya dalam gelanggang pemilihan bermula dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 1991 yang menyaksikan beliau tewas dalam percaturan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lawas (kini DUN Bukit Sari), dan tahun berikutnya beliau menubuhkan firma guaman Messrs Baru Bian Advocates & Solicitors, di Kuching.

Pernah kecundang

Pada 2004, beliau meletak jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi PBDS selepas mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil DUN Ba’Kelalan yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr. Judson Sakai akibat kemalangan helikopter, namun kecundang di tangan calon Barisan Nasional (BN).

Dalam mengharungi pelbagai cabaran politik yang berliku dan penuh ranjau berduri, pada tahun 2006 beliau bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di DUN Ba’Kelalan, dan sekali lagi tewas.

Dua tahun kemudian Baru menyertai Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) sebagai anggota biasa, dan pada November 2009 kedudukannya dalam parti terus melonjak, yang menyaksikan beliau dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak.

Kejayaannya dalam arena pilihan raya hanya menjelma pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-10 pada 2011 dan PRN11 (2016) apabila dalam kedua-dua pilihan raya itu beliau menewaskan calon BN daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Willie Liau.

PRU14 jadi MP pertama kali

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas pula, beliau bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Selangau dan berjaya menewaskan calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), untuk memperoleh status sebagai anggota Parlimen buat pertama kali.

Untuk rekod, sebelum PRU14 lepas, Datuk Henry Sum Agong mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali seorang pemimpin daripada komuniti Lun Bawang dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam Kabinet kerajaan persekutuan, dan kini Baru dilihat memadamkan rekod itu apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.

Di bilik mahkamah, nama Baru menjadi perhatian sekitar Februari lepas apabila firma guamannya mewakili empat individu yang berhasrat mendapatkan ketetapan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan mereka untuk keluar daripada agama Islam, sama ada boleh didengar di Mahkamah Tinggi, ataupun Mahkamah Syariah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS