Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr Mahathir: Kita nak balas dendam apa?
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 1:24 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan keluarga Datuk Seri Najib Razak bahawa pembekuan akaun bank mereka adalah tindakan balas dendam.

Katanya, jika keluarga bekas perdana menteri itu percaya apa yang dilakukan terhadap mereka adalah salah, maka mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

"Ini adalah tuduhan, dia boleh tuduh apa, dia salah. Kalau dia kata (pembekuan akaun) ini salah, mereka boleh bawa ke mahkamah.

"Kita nak balas dendam apa? Yang dia buat dulu lebih daripada itu kita tak mengadu.

"Semua kawan-kawan saya dihalau tak beri berkawan dengan saya, pembekuan akaun mereka dilakukan, kita tak mengadu, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.

Semalam, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa mendakwa bahawa akaun bank peribadinya, bersama anaknya yang berusia 10 bulan, dibekukan selepas beliau menyediakan wang bagi jaminan bapanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan begitu berdendam dan berusaha untuk "menghapuskan" seluruh keluarganya.

Akaun bank peribadi seorang lagi anak Najib, Norashman juga dilaporkan dibekukan.

Keluhan sama disuarakan anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nizar berhubung akaun banknya turut dibekukan.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki menafikan dakwaan akaun bank milik cucu bekas perdana menteri itu turut dibekukan ekoran siasatan terhadap 1MDB.

Najib ditangkap pada malam Selasa lalu oleh SPRM dan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Rabu dan dikenakan tiga tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhanan menyalahgunakan kuasa.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang berkaitan dengan isu SRC International.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan Najib dibenarkan pulang selepas anggota keluarganya berjaya membayar separuh daripada jumlah itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS