Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekumpulan pengikut jemaah Ahmadiyah menitiskan air mata kesyukuran di luar ruangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Ia terjadi selepas Hakim Vazeer Alam Mydin membuat keputusan menyebelahi mereka dalam kes yang difailkan terhadap Jabatan Agama Islam Selangor.

"Kita dah boleh sembahyang Jumaat macam biasa sekarang," ujar salah seorang pengikut ajaran yang telah difatwakan sesat pada tahun 1998 oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor.

Dalam perbicaraan itu, hakim memutuskan pengikut Ahmadiyah boleh meneruskan aktiviti mereka di Selangor tanpa diganggu pihak berkuasa agama. 

Sambil berdoa bersama, kira-kira 20 orang pengikut yang hadir di mahkamah hari ini kelihatan sebak dan terharu.

Ada antara mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilihat saling berpelukan.

Keputusan kes hari ini adalah berhubung permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh 39 pengikut ajaran Ahmadiyah pada 2014.

Kes difailkan susulan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 11 April, 2014 terhadap sebuah unit rumah kedai di Taman Perindustrian Dolomite, Batu Caves yang dijadikan markas jemaah terbabit.

Serbuan itu dibuaat ketika mereka sedang menjalankan solat Jumaat.

Pemangku presiden Jemaah Ahmadiyah Malaysia Saripudin Bujing ketika ditemui berkata, sepanjang tempoh empat tahun dari tarikh serbuan dilakukan hingga hari ini, mereka terpaksa menyewa ruangan lain bagi menunaikan sembahyang Jumaat.

"Kerana itu (solat Jumaat) adalah kewajipan kita sebagai umat Islam.

"Jadi kita menjalankan kita punya ibadah di tempat yang kita sewa itu," jelasnya ringkas.

Tak tertakluk di bawah JAIS

Saripuddin turut menyatakan harapan agar pengikut Ahmadiyah akan mendapat layanan yang lebih adil dibawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Ini selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama bagi semua warga negara," tegasnya.

Peguam Aston Paiva yang mewakili para responden memberitahu pemberita bahawa keputusan hari ini menegaskan bahawa pengikut Ahmadiyah tidak tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri kerana kumpulan itu telah difatwakan sebagai 'kumpulan ajaran sesat' sebelum ini.

Jelasnya, hakim memutuskan bahawa JAIS tidak boleh menyiasat atau mendakwa pengikut Ahmadiyah di bawah kesalahan syariah kerana mereka tidak diiktiraf sebagai penganut agama Islam.

"Ini bukan kes murtad di mana mereka mengatakan bahawa mereka meninggalkan Islam.

"Seorang Ahmadiyah tidak akan mengatakan bahawa mereka bukan lagi seorang Muslim," jelasnya.

Terdahulu, hakim juga memerintahkan lima defendan - ketua pegawai penguat kuasa agama, pegawai penyiasat, JAIS, ketua pendakwa syariah negeri dan kerajaan Selangor - untuk membayar kos pemohon RM25,000.

Lihat Komen
ADS