Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota kabinet, YB HARAPAN wajib isytihar harta pada SPRM

Semua anggota parlimen atau dewan undangan negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk di kalangan jemaah menteri akan mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad seorang perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta anggota kabinet dianggap sebahagian daripada jentera pentadbiran yang tetap tertakluk di bawah undang-undang.

Katanya sebelum ini ada keputusan mahkamah yang memutuskan perdana menteri bukan penjawat awam.

"Tetapi kami memutuskan bahawa perdana menteri dan timbalan perdana menteri adalah anggota pentadbiran bersama jemaah menteri yang mewakili parti pemerintah.

"Mereka tidak akan dikecualikan. Semuanya mesti mengisytiharkan harta serta pendapatan masing-masing," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Dr Mahathir menghadiri pertemuan dengan jawatankuasa khas kabinet mengenai pencegahan rasuah.

Tahun lalu Dr Mahathir - ketika itu masih menjadi ahli politik pembangkang - mengemukakan saman ke atas Najib atas dakwaan melakukan salah guna kuasa.

Mercedes atau Proton pun tak boleh

Bagaimanapun pada 27 April 2017 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Abu Bakar Jais menolaknya kerana berpendapat Najib - ketika itu menjadi perdana menteri - bukan seorang penjawat awam dalam perkhidmatan kerajaan.

Pada 30 Ogos pula rayuan Dr Mahathir dan dua yang lain turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Mengulas keputusan kerajaan hari ini, Dr Mahathir berkata jika mahkamah membuat keputusan yang tidak selaras dengan apa yang difikirkan wajar oleh kerajaan, undang-undang boleh dipinda.

Satu lagi langkah diambil kerajaan bagi mencegah amalan rasuah, kata perdana menteri, ialah mengarahkan wakil rakyat HARAPAN melaporkan semua hadiah yang mereka terima kepada pihak berkuasa.

Kata Dr Mahathir hadiah seperti bunga-bungaan, makanan atau cenderahati dibenarkan, mereka masih perlu melaporkannya kepada badan yang berkenaan.

"Jika ada sebarang hadiah yang tak dibenarkan, maka ia tidak boleh diterima oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri-menteri

"Sudah tentu kalau diberikan sebuah kereta Mercedes, mereka mesti tolak. Kereta Proton pun tak boleh," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS