Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM bukan penjawat awam’ - mahkamah tolak rayuan Dr M

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain yang mengemukakan rayuan bagi saman misfeasans berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang bersetuju bahawa Najib tidak boleh dianggap sebagai penjawat awam, dan saman RM2.642 bilion tidak mempunyai merit.

"Kami bersetuju dengan keputusan hakim (Mahkamah Tinggi). Tiada merit dalam rayuan itu. Kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi, " kata Hakim Tan Sri Idrus Harun yang mengetuai panel berkenaan.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Datuk Vernon Ong dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga plaintif membayar kos RM30,000 kepada Najib.

Mahathir bersama bekas ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin memfailkan saman itu terhadap Najib atas dakwaan tort misfeasance di pejabat awam dan melanggar tugas fidusiari tahun lalu susulan skandal 1MDB.

Pada 28 April lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Abu Bakar Jais membenarkan permohonan oleh Najib untuk membatalkan saman itu apabila beliau memutuskan bahawa perdana menteri bukan seorang penjawat awam.

Abu Bakar berdasarkan keputusannya kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Interpretasi, di mana perdana menteri, menteri-menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik tidak dianggap sebagai pegawai awam tetapi hanya sebagai anggota pentadbiran.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkata, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, Mahathir secara terbuka menyatakan bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi itu adalah salah kerana Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghadapi perbicaraan kes rasuah sebagai pegawai awam tetapi perkara yang sama tidak terpakai ke atas Najib.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang pernah berkhidmat di Mahkamah Rayuan selama 15 tahun, juga berkata keputusan hakim Abu Bakar adalah salah sama sekali.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang juga adalah seorang peguam, turut tidak bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap perkataan pegawai atau penjawat awam.

Katanya, walaupun salah satu elemen dalam tort misfeasance di pejabat awam adalah defenden mesti merupakan pegawai awam, tetapi ia tidak harus ditafsir secara tegar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS